KLANG: Bahasa kolokial atau dialek komuniti tidak sepatutnya lenyap atau dipinggirkan terutama dalam kalangan generasi muda walaupun dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, kolokial itu menjadikan seseorang istimewa kerana mereka akan bercakap dialek negeri yang mereka lahir atau tinggal, lantas mewujudkan kepelbagaian loghat.
“Bahasa bukan sahaja menjadi identiti bangsa dan budaya penuturnya, malah ia berupaya menjadi pembentung yang dalamnya terkandung konsep, nilai dan idea yang diwarisi oleh bangsanya.
“Justeru itu, bahasa kolokial merupakan khazanah waris negara yang seharusnya dipelihara, ditutur, dikembang, dimartabat dan dilestarikan,” katanya selepas merasmikan program Bicara Bahasa Kolokium: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti ‘Merentasi Khazanah Dialek Selangor’, hari ini.
Tambahnya, program Bicara Bahasa Kolokium sudah dianjurkan di enam buah negeri, dengan Pahang menjadi negeri pertama penganjuran program itu.
Jelas Mohamad Sobri, Kementerian Perpaduan Negara bersama Arkib Negara Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan program tersebut bagi membolehkan orang ramai memahami dengan lebih lanjut bahasa kolokium setiap negeri.
“Selepas Selangor, kami merancang untuk menganjurkannya di empat buah negeri. Kemuncaknya adalah Konvensyen Bahasa Kolokial Peringkat Kebangsaan yang dijangka diadakan pada 15 hingga 16 Oktober ini di Melaka.
“Dalam konvensyen tersebut, kami akan himpunkan para pengkaji bahasa, sasterawan dan pengamal budaya bagi membincangkan lebih lanjut mengenai bahasa kolokial. Orang ramai dijemput hadir,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, hasil perbincangan dalam program ini akan disimpan di dalam Arkib Negara Malaysia bagi membolehkan orang ramai melihat hasil perbincangan itu.
Ujarnya, program Bicara Bahasa Kolokium turut disiarkan secara langsung dalam saluran Youtube ArkibTV dan Facebook Arkib Negara Malaysia. – UTUSAN










