Dharma jual kereta, pasrah Alhijrah enggan beli hak cipta

Dharma jual kereta, pasrah Alhijrah enggan beli hak cipta

DHARMA Harun Al-Rashid menahan sebak ketika berkongsi situasi semasa dirinya di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Dharma Harun Al-Rashid berputih mata selepas gagal menjual hak cipta kandungan program terbitannya berjumlah RM312,000 kepada stesen TVAlhijrah.

Katanya, walaupun tidak rela dengan berita tersebut, pelakon filem Adik Manja itu pasrah mencari jalan keluar bagi menampung keluarga termasuk menjual sebuah kereta milik­nya, Disember lalu.

“Sebelum ini kami ada dua buah kereta. Namun kerana keadaan kewangan semakin merosot sejak tahun lalu, saya terpaksa jual sebuah kereta. Ada banyak perkara lain yang saya lakukan dan pelbagai orang saya jumpa namun tidak usahlah saya ceritakan lebih.

“Alhamdulillah, satu perkara yang saya syukuri, walau sempit macam mana kewangan saya, makanan di rumah tidak pernah putus.

“Cuma saya sedih melihat anak-anak yang sudah dua bulan tiada duit poket. Di kampus, mereka hanya makan biskut yang diwakafkan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada saya memandangkan mereka faham keadaan keluarga.

“Saya kata pada anak, Allah akan bantu, sabar,” katanya yang mengalirkan air mata.

Dharma ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Wangsa Maju bagi bercerita lanjut situasi semasa dirinya yang diminta keluar dari rumah ke­rana gagal membayar tunggakan sewa.

Ibarat hidup dalam keadaan yang serba tersepit, Dharma pernah terfikir untuk berpindah ke rumah yang lebih murah. Namun begitu, urusan mencari rumah,

membayar duit muka dan berpindah semuanya memerlukan wang.“Tiga tahun tinggal di sini, saya tidak pernah ada masalah lewat membayar sewa. Bahkan saya selalu bayar tiga bulan awal.

“Cuma perkara ini terjadi sejak keadaan kewangan saya semakin merosot. Tuan rumah saya baik kerana hanya berdiam diri walaupun tidak membayar sewa selama beberapa bulan. Apabila memasuki bulan kelima, barulah dia bersuara.

“Saya ada terfikir juga untuk berpindah. Namun jika saya mahu pindah juga perlukan duit. Hendak menyewa di sini juga perlukan duit. Buat masa ini saya tunggu beberapa hari ini jika ada bantuan sampai. Saya tidak tahu mahu cakap bagaimana,” katanya yang kini membayar sewa bulanan seba­nyak RM1,300.

Yakin dengan produk ranca­ngan Deko Ibadah yang diterbitkan sendiri oleh rumah produksinya, WWS Studios, Dharma berharap ada pihak yang terbuka hati untuk membeli proposal musim kedua program tersebut demi menampung hidup.

“Jika Alhijrah tidak mahu beli, tidak mengapalah. Walaupun kontrak yang mereka tulis itu seolah-olah memberi harapan kepada saya.

“Saya tidak minta duit tetapi saya minta bantuan supaya ada pihak yang lihat proposal saya dan luluskan. Namun saya juga dimaklumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak mempunyai dana yang banyak iaitu hanya beberapa juta untuk dikongsi kepada banyak rumah produksi.

“Jika Finas yang menjadi tempat kita dapatkan dana juga ‘sempit’, apatah lagi stesen yang lain seperti RTM.

“Tetapi harapan saya jika ada stesen televisyen atau syarikat yang berminat dengan propo­sal saya untuk mengubah suai surau, hubungilah saya. Umur saya sudah lanjut, sebelum tutup mata saya nak buat kandu­ngan islamik, itu sahaja,” kata­nya yang membesarkan anaknya sendirian setelah kematian isterinya 20 tahun lalu.

Terdahulu, Dharma mendakwa, syarikat penyiaran TVAlhijrah enggan memberikan kerjasama walaupun telah menandatangani kontrak membeli hak cipta rancangan terbitannya, Deko Ibadah bernilai RM312,000.

Susulan itu, Dharma mengakui mengalami kesempitan wang sehingga dihalau keluar daripada rumah kerana gagal membayar tunggakkan sewa bernilai RM7,500.

Bagaimanapun, stesen TVAlhijrah menafikan pernah mengeluarkan atau menandatangani sebarang kontrak perjanjian pembelian hak cipta kandungan daripada produksi WWS Studios.

Pihaknya hanya bertanggungjawab untuk menyiarkan program Deko Ibadah pada 2022 sesuai dengan perjanjian yang telah dibuat bersama Finas sebagai pemberi dana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN