BATU GAJAH: Bangunan Kellie’s Castle di sini satu-satunya bangunan pelancongan yang mendapat pengiktirafan sebagai lokasi ‘dark tourism’ atau pelancongan seram di negara ini.
Bangunan berusia lebih 100 tahun itu juga merupakan satu-satunya bangunan pelancongan yang mempunyai papan tanda ‘amaran’ kawasan berhantu dengan tertulis perkataan ‘Balkoni Serambi Berhantu’.
Selain seni binanya yang mengagumkan, bangunan yang siap 70 peratus dan mempunyai 14 buah bilik itu terkenal dengan kisah-kisah seram. Kerana suasana seram di situ, ia menjadi pilihan lokasi penggambaran filem Munafik 2 arahan Syamsul Yusof.
Dikatakan, sewaktu penggambaran filem tersebut ada kru penggambaran yang melihat sosok wanita berdiri melihat mereka dari tingkat 1 iaitu dari Balkoni Serambi Berhantu.
Kellie’s Castle asalnya merupakan bangunan yang dimiliki oleh seorang jurutera awam dari Scotland bernama William Kellie Smith manakala isterinya bernama Agnes, dan ia dibina pada tahun 1910 oleh 70 pekerja dari Madras, India.
Pasangan itu mempunyai dua anak, yang perempuan bernama Helen manakala lelaki bernama Anthony.
Bangunan itu tidak dapat disiapkan apabila Kellie Smith meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat radang paru-paru di Lisbon, Portugal.
ENTITI KERAP MUNCUL
Cerita seram mengenai entiti di istana itu diakui Pengarah Urusan Kellie’s Castle, Zamari Muhyi yang sudah biasa dengan kemunculan ‘penghuni’ di situ.
Menurutnya, entiti yang sering muncul di bangunan itu berupa kelibat wanita.
Katanya, di istana itu terdapat empat lokasi yang dianggap menyeramkan iaitu di bilik Helen, bilik Linen, bilik tidur utama dan kawasan Balkoni Serambi Berhantu.
“Di kawasan koridor memang entiti itu selalu munculkan diri. Ada ramai pengunjung yang bergambar pada waktu ia ‘mengusik’ iaitu pada pukul 5.30 petang, jika bertuah ia akan memunculkan diri. Ramai juga yang kata melihat kelibat entiti di sini.

“Kawasan ini ditutup kepada pengunjung pada pukul 5.15 petang kerana biasanya waktu aktif entiti di sini adalah pada pukul 5.30 petang hingga menjelang Maghrib.
“Ada pengunjung yang berada di sini pada pukul 5.30 petang mengambil gambar dan entiti muncul dalam gambar-gambar yang dirakam.
“Waktu lain entiti di sini aktif ialah pada pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kejadian seram di situ, Zamari berkata, sebelum ini mereka pernah buat eksperimen di bilik Helen pada pukul 2.30 pagi dengan menyalakan dua batang lilin.
“Selepas lilin dinyalakan, kami menyeru jika benar ada entiti yang wujud di situ supaya memberikan tanda kehadirannya.
“Dalam kiraan tujuh, satu daripada lilin yang dinyalakan bukan sahaja terpadam seperti dihembus tetapi juga terpelanting jatuh ke lantai. Saya masih menyimpan rakaman video detik misteri itu.
“Entiti tersebut seakan-akan ‘menampar’ lilin dan bunyi tamparan itu sangat kuat. Kejadian ini berlaku pada tahun 2017,” katanya.
Jelasnya, lebih menyeramkan ialah kejadian di bilik Linen pada tahun 2017 ketika mereka mengadakan program menjelajah bangunan itu pada waktu malam dengan kumpulan dikenali sebagai Aura Makrifat.
“Pada masa itu kita ‘panggil roh’ di dalam bilik itu masuk ke dalam badan seorang perempuan. Individu itu tiba-tiba bertukar suara kepada suara lelaki berbangsa India. Jadi saya tanya, siapa namanya dan dia menjawab dalam bahasa Inggeris ‘My name is Gopal and I am a laundry man’.
“Saya tanya kenapa dia berada di situ dan dia jawab dia sepatutnya dihantar balik (ke India) tetapi dia tidak dapat balik, jadi rohnya berlegar-legar di situ. Katanya, dia ada anak dan isteri di Madras, India,” katanya.
Jelasnya, bilik tidur utama merupakan tempat yang paling ‘keras’ kerana dipercayai ada bermacam-macam entiti, bukan ‘penghuni’ asalnya sahaja tetapi ada juga ‘penghuni’ luar.
Jelasnya, dia pernah membawa kira-kira 10 peserta untuk merasai pengalaman unik dan seram berada di bangunan itu pada waktu malam pada tahun 2017.
“Ada di antara mereka yang hanya bertahan cuma lima minit, mereka terasa ‘ditampar’ berkali-kali, ada juga yang membawa surah Yasin sebagai pelindung daripada gangguan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada kejadian serius berlaku terhadap pengunjung seperti histeria atau kerasukan cuma pengunjung mendakwa ada terlihat kelibat entiti di bahagian tertentu bangunan itu.
“Berdasarkan cerita dan pengalaman yang dilalui oleh pengunjung yang ternampak kelibat entiti di sini, saya rasa entiti di sini mesra pengunjung,” katanya.
Katanya, istana itu menjadi lokasi mereka yang mahu merasai pengalaman seram dengan berada di bangunan itu pada waktu malam dan mencabar keberanian berada di bangunan yang terkenal dengan kisah seram.
Namun, peluang untuk berada di situ pada waktu malam hanya diadakan pada waktu tertentu sahaja.
“Kita pernah memberi peluang kepada umum untuk merasai pengalaman berada di sini pada waktu malam.
“Kami bercadang untuk mengadakan program yang sama tidak lama lagi tetapi kali ini memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk tidur di dalam bangunan ini.
“Kelengkapan tempat tidur akan disediakan supaya mereka boleh merasai pengalaman di istana ini pada waktu malam,” katanya.
Sementara itu, Zamari berkata, tahun lalu seorang lelaki datang ke bangunan tersebut yang mendakwa sebagai cucu kepada Helen atau cicit kepada pasangan William Kellie Smith dan Agnes
“Lelaki itu datang bersama keluarganya. Berdasarkan nama pada passport lelaki itu, dia adalah cucu kepada Helen. Dia datang hanya untuk melihat sejarah tempat neneknya dibesarkan. Dia tidak mahu menuntut apa-apa,” katanya.
SUDAH BIASA DIUSIK
Pengurus Kellie’s Castle, Abdul Hakim Muhaimin Abd. Hamid turut menempuh pengalaman pelik dan seram terutama sewaktu mula bekerja pada tahun 2020 apabila diusik oleh entiti di situ.
Katanya, tahun itu merupakan tahun pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan istana itu tiada pengunjung.
“Sewaktu saya menyelia kawasan sekitar bangunan, seolah-olah ada orang menyapa dengan panggilan ‘hai’ tetapi apabila saya menoleh ke belakang, tiada sesiapa.
“Kejadian itu berlaku pada waktu siang sewaktu saya dan tiga pekerja lain sedang mengurus kawasan istana. Saya rasa itu adalah sesi pengenalan daripada entiti itu,” katanya.
Satu lagi pengalaman yang ditempuhnya ialah, dia berasa seperti terkena ‘tamparan’ angin di kawasan koridor hujung bangunan itu, berdekatan bilik tidur utama pada waktu petang.
Katanya, dia agak terkejut tetapi tetap tenang kerana yakin entiti di situ tidak ganas atau terlalu menyeramkan apatah lagi sehingga boleh menyebabkan seseorang itu dirasuk.
“Entiti di sini mesra pengunjung, setakat ini tiada lagi kes pengunjung yang diganggu, cuma mereka seperti ternampak kelibat sesuatu,” katanya.
Abdul Hakim berkata, pernah berlaku kejadian satu pasangan yang baru berkahwin mengambil gambar dan tiba-tiba terdengar sesuatu seolah-olah memanggil mereka supaya masuk ke dalam istana.
“Saya cuba menenangkan mereka namun sesi fotografi yang mereka rancang tidak berjalan dengan lancar dan pasangan itu akhirnya mengambil keputusan untuk pulang,” katanya.
Sementara itu, penjaga malam Kellie’s Castle, Satpal Singh berkata, sepanjang 11 tahun bertugas di situ, berlaku kejadian menyeramkan tetapi tidak terlalu mengganggunya.
“Ternampak kelibat itu perkara biasa, tetapi apabila ada sesuatu yang sangat mengganggu, saya akan terus memberitahu majikan saya.
“Pernah ada bunyi aneh yang sangat kuat lalu saya berdoa dan melihat keluar, tiada apa-apa di sekeliling saya,” katanya.
RUMAH TUAN SMITH
Sebelum dikenali Kellie’s Castle, bangunan tersebut dikenali dengan nama ‘rumah Tuan Smith’ oleh penduduk setempat, bersempena nama pemiliknya William Kellie Smith.
Seorang penduduk, Mohd. Shukri Naim Husin, 68, berkata, kerana saiz bangunan itu yang besar dan reka bentuknya yang megah, sekali gus membuatkan ia kelihatan seperti istana.
Katanya, bangunan itu sekarang berbeza berbanding dahulu terutama dari segi pengurusan dan kebersihannya.
“Kalau dulu, namanya bukan Kellie’s Castle, kita panggil ‘rumah Tuan Smith’. Sekarang rumah itu dipopularkan dengan nama Kellie’s Castle kerana saiz bangunannya yang besar dan reka bentuknya yang megah sekaligus membuatkan ia kelihatan seperti istana.
“Sebenarnya stigma takut nak lalu di jalan itu sampai sekarang masih ada walaupun sudah banyak lampu jalan dan jalan raya pula semakin lebar dan selesa.
“Kalau dulu penduduk sekitar takut nak lalu jalan itu disebabkan gelap akses masuk ke istana itu bukan jalan yang sekarang, dulu ada jalan lain,” katanya.
DESTINASI POPULAR FOTOGRAFI
Bagi pengunjung dan penduduk di sini, bangunan itu bukanlah asing bagi mereka malah bangga kerana wujudnya bangunan itu di kawasan mereka dan masih dalam keadaan baik, terjaga dan menjadi tumpuan pelancong.
Pengunjung, Haliza Naim, 27, berkata, dia memang mengetahui istana itu sejak dahulu lagi malah sejak dalam keadaan terbiar, tidak dijaga dengan baik seperti sekarang.
Katanya, di sebalik kisah seram yang diperkatakan, dia mahu tahu mengenai sejarah istana itu lebih mendalam.
“Saya pernah masuk ke Kellie’s Castle sejak akses masuk ke istana tersebut secara percuma sehinggalah kini kena bayar RM5.
“Saya memang suka mencabar diri, nak rasa keseraman itu, tapi saya datang pada waktu siang, jadi tidaklah seseram yang diperkatakan.
“Kellie’s Castle juga menjadi tarikan untuk sesi fotografi. Reka bentuk bangunan yang tidak siap itu mempunyai nilai estetika. Apabila masuk ke dalam Istana, rasanya bukan seperti di Malaysia, reka bentuk dan seni bina bangunan seperti di luar negara,” katanya.
SEJARAH KELLIE’S CASTLE
Kellie’s Castle mengambil sempena nama seorang jurutera awam dari Scotland bernama William Kellie Smith yang berkahwin dengan seorang wanita bernama Agnes.
Pada tahun 1904, Agnes melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakan Helen dan pada tahun 1915, pasangan itu mendapat anak lelaki yang diberi nama Anthony.
Sebelum bangunan tersebut dibina, pasangan itu tinggal di rumah kayu dan selepas melahirkan anak kedua, mereka berpindah ke rumah baru kuning yang diberi nama Kellas House.
Bangunan itu dibina menggunakan batu-bata yang dilekatkan menggunakan bancuhan campuran putih telur itik, pasir, kapur, gula merah dan madu. Tiada besi atau paku digunakan.
Bangunan itu setinggi tiga tingkat dan dipercayai terdapat dua tingkat lagi di bawah tanah yang diinspirasikan mengikut reka bentuk istana Moghul di Agra, India, manakala jubin dindingnya diimport dari Itali.
Kellie’s Castle mempunyai kamar tidur termasuk bilik linen, bacaan, fotografi, simpanan arak dan bilik bawah tanah yang dilengkapi terowong rahsia serta kemudahan lif. Di aras dua bangunan pula dibina padang tenis berlantaikan simen.
Pekarangan Kellie’s Castle terdapat dua stable kuda dan ruang bawah tanah yang dipercayai menjadi tempat menyimpan kereta milik mereka.
Kellie’s Castle tidak sempat disiapkan apabila Smith meninggal dunia di Lisbon, Portugal pada 11 Disember 1926 kerana dijangkiti radang paru-paru.
Isteri mendiang, Agnes dan Helen pula pulang ke Scotland selepas anaknya, Anthony terkorban dalam pertempuran ketika Perang Dunia Pertama (WW1).
Anggota keluarga Smith tidak meninggal dunia dalam bangunan separuh siap itu. Mereka hanya sempat mendiami Rumah Kuning, berhampiran tapak istana yang wujud sekarang.
Selepas William meninggal dunia, Agnes menjual kepentingannya dalam syarikat Kellas Estate dan bangunan tersebut. – UTUSAN
INFO GRAFIK
PENGUNJUNG
2021: 93,414
2022: 229,634
2023: 227,338
-90 peratus pelancong domestik, 10 peratus pelancong asing
TIKET
RM5 – Warganegara
RM3 – Kanak2
RM10 – Pelancong Asing
RM8 -Kanak-kanak pelancong asing
WAKTU OPERASI
9 pagi hingga 5.15 petang
-Pintu masuk Kellie’s Castle merupakan bahagian belakang bangunan.
-Struktur bangunan Kellie’s Castle kekal hingga hari ini dalam keadaan separuh siap atau masih dalam pembinaan.
-70 peratus pembinaan Kellie’s Castle sempat disiapkan.
-Mempunyai 14 bilik.
-70 buruh dari Madras, India ketika pembinaan.










