KUANTAN: Sebuah keluarga dari Meru, Klang, Selangor sanggup menyewa sebuah inap desa di Indera Mahkota untuk menyertai Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan di sini, semalam.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Izhar Azimi Abdul Basir, 20, teruja kerana kali pertama hadir ke acara seumpama itu sekali gus menyaksikan pertunjukan udara serta pameran aset TUDM.
Katanya, bapanya, Abdul Basir Kasiman, 64, juga tidak mahu ketinggalan meskipun terpaksa berkerusi roda berikutan menghidap sakit buah pinggang.
“Saya datang bersama 10 ahli keluarga dan kami menyewa sebuah rumah inap di Indera Mahkota sejak Sabtu lalu. Kami sekeluarga sudah berada di sini (Pangkalan Udara Kuantan) pukul 6 pagi.
“Selain minat melihat pertunjukan udara, kami datang bagi memberikan sokongan kepada saudara kami yang juga seorang anggota TUDM,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung dari Batu Kikir, Negeri Sembilan, Mislia Masari, 67, berkata, dia datang bersama suaminya, Ahmad Kamil Harun, 67, serta dua anak dan cucu bagi memberi sokongan kepada menantunya yang merupakan anggota TUDM.
“Kebetulan menantu ada kursus di sini dan sudah alang-alang, kami ke hari terbuka ini. Memang teruja.
“Kami bertolak dari Negeri Sembilan pukul 4 pagi dan sampai sini pukul 8 pagi. Biasanya dua jam 30 minit sahaja perjalanan, tapi disebabkan kesesakan lalu lintas, tempohnya lebih lama,” katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 20,000 pengunjung hadir memeriahkan Hari Terbuka Tentera TUDM bermula pukul 8 pagi.
Selain disajikan dengan 29 gerai pelbagai agensi dan 14 pameran aset, pengunjung dipertonton dengan pertunjukan udara melibatkan 23 aset udara termasuk statik antaranya Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan Hawk MK 208, dan helikopter EC 725 AP selain pertunjukan payung terjun 15 anggota pasukan khas udara (Paskau) serta enam aset bantuan darat. – UTUSAN










