Broker, pegawai bank antara 8 ditahan penjualan tanah milik Felda

Broker, pegawai bank antara lapan ditahan penjualan tanah milik Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapan individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai bersekongkol dengan menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Mereka yang ditahan melibatkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam di Kuala Lumpur dan Sabah.

Penahanan di Kuala Lumpur melibatkan tiga broker dan dua orang awam, manakala di Sabah pula melibatkan dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Menurut sumber, tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu telah memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank berkenaan sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

Kata sumber, akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai-pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan bahawa urus niaga penjualan tanah itu adalah ‘genuine’ daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

“Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023,” katanya di sini.

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan antara pukul 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Pejabat SPRM Sabah.

Katanya, susulan penahanan itu juga, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×