‘Berkat’ kontroversi Don, Bella-Aliff belum berbaik, Pyanhabib sahabat setia - Utusan Malaysia

‘Berkat’ kontroversi Don, Bella-Aliff belum berbaik, Pyanhabib sahabat setia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARANG bahkan hampir tidak ada program terbitan RTM yang tular di media sosial. Namun berkat kontroversi membabitkan pendakwah terkenal, Don Daniyal Don Biyajid, masyarakat mula mengenai program Salam Baitullah yang secara tidak langsung terpalit sama.

Sebenarnya api kontroversi bermula menerusi kenyataan Don di sebuah rancangan radio mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan kisah tersebut benar namun hanya ditolak sekali sahaja sewaktu pembukaan kota Mekah. Dua lamaran yang berlaku sebelum Ummu Hani memeluk Islam tidak diterima kerana sanad riwayatnya lemah.

Akibat kontroversi itu, warganet menyedari bahaya Don turut menjadi juruacara rancangan RTM bernama Salam Baitullah dan mempersoalkan kredibiliti ustaz berkenaan mengendalikan program agama.

Hasil tekanan daripada warga maya, Ketua Pengarah RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman meminta pasukan produksi merehatkan Don daripada program berkenaan.

Dakwaan berbaik tidak benar

Selain itu, antara isu lain yang mencuri tumpuan minggu ini ialah spekulasi membabitkan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang didakwa sudah berbaik dengan suaminya, Aliff Aziz. Dakwaan timbul susulan daripada kes mahkamah mereka yang sepatutnya berlangsung pada 4 Jun ditunda kepada 13 Jun.

Bukan itu sahaja, Bella juga bergegas pulang selepas acara dan sukar ditemui media untuk bertanya langsung. Bagaimanapun, adik kepada pelakon itu, Didi Astillah menafikan khabar angin tersebut.

Menerusi satu siaran langsung di akaun TikTok, Didi mengakui bengang mendengar desas-desus itu dan mengatakan Bella dan Aliff tidak pernah berhubung. Dia juga tidak mengetahui siapakah yang memulakan khabar angin tersebut.

Tidak lama selepas itu, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menerusi hantaran di Instagramstory menegaskan tidak pernah berbaik dengan Aliff. Dia turut mengakui sudah lama melupakan masa lalu dan meminta agar netizen yang mudah terpancing dengan tajuk artikel yang tidak benar untuk berhenti mengecamnya.

Pyanhabib ucap syahadah sebelum pergi

Tiada siapa yang boleh lari daripada kematian. Minggu ini industri seni dan sastera kehilangan insan berbakat Allahyarham Pyanhabib yang bertemu Illahi akibat sakit tua.

Menurut isteri, Zurina Zakaria, dia sempat mengajar suaminya mengucap dua kalimah syahadah dan memohon maaf sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada Selasa.

Kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan arwah mengiringi pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat, pada Rabu. Pelakon dan penyanyi, Datuk M. Nasir antara yang hadir memberi penghormatan terakhir dan menyifatkan Pyannhabib sebagai seorang sahabat setia.

Mereka sangat akrab sejak tahun 80-an lagi dan pernah terlibat dalam filem ‘Kembara Seniman Jalanan’. Menurut Nasir, Pyann sepatutnya tampil dalam satu persembahan bersamanya di konsert M.N45IR yang bakal berlangsung Ogos ini. Namun apakan daya, Tuhan lebih menyayanginya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN