KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan dikenakan 12 sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Butterworth kerana membunuh isterinya, enam tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Fathiyah Idris memutuskan demikian terhadap M. Rajagumaaran, 32, selepas berpuas hati keterangan ikut keadaan menjurus kepada satu kesimpulan yang tidak dapat ditolak bahawa lelaki itu bertanggungjawab menyebabkan kematian isterinya.
Dia disabitkan membunuh P. Kamani, 26, di antara pukul 4 pagi dan 10 malam, 28 Ogos 2018 di sebuah rumah di Taman Merbau Indah, Sungai Dua, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Rajagumaaran membuat laporan polis pada awal pagi, 29 Ogos 2018 bahawa dia bergaduh dengan isteri di rumah itu pukul 5 pagi sehari sebelumnya (28 Ogos) lalu menolak mangsa ke lantai.
Menurut tertuduh, dia selanjutnya membawa anak mereka keluar rumah dan pulang pukul 10 malam dan mendapati isterinya sudah mati.
Pemeriksaan polis di bilik rumah itu menemukan mayat wanita tersebut dibalut dalam gulungan kain cadar yang diikat manakala sebilah pisau dengan kesan darah ditemukan di sinki dapur.
Dalam penghakimannya, Fathiyah berpuas hati, tertuduh adalah individu terakhir bersama-sama mangsa kerana lelaki itu yang telah mengunci pintu ketika meninggalkan rumah selepas bergaduh dengan isterinya.
Meskipun tiada saksi mata melihat kejadian itu, naratif pendakwaan disokong oleh keterangan pegawai tangkapan bahawa tertuduh sendiri yang membuka mangga (padlock) dan pintu rumah menggunakan kuncinya.
“Berdasarkan keterangan pegawai tangkapan, ia menunjukkan rumah itu tidak diceroboh atau dipecah masuk. Ini membuktikan tertuduh yang telah mengunci pintu dari luar sebelum meninggalkan rumah pada pagi itu,” ujar beliau dalam alasan penghakiman bertarikh 7 Jun lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.
Mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan anak tiri tertuduh (anak kandung isterinya) berusia lapan tahun bahawa dia mendengar jeritan ibunya pada malam kejadian dan dibawa keluar dari rumah itu oleh bapa tiri pada pagi tersebut.
Fathiyah selanjutnya berpendapat, terdapat kesan darah yang berpadanan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa pada seluar yang dipakai tertuduh.
“Kesimpulan yang boleh dibuat adalah tertuduh telah melakukan sesuatu terhadap mayat isteri seperti mengalihkannya, menukar baju dan menyelimuti dengan kain cadar. Seterusnya tertuduh telah membersihkan lantai yang mempunyai kesan darah, sudah tentu darah si mati melekat pada seluar atau pakaiannya.
“Mahkamah berpendapat perkara itu tidak akan dibuat oleh seseorang penjenayah atau pembunuh yang tiada kaitan atau hubungan dengan si mati. Secara logiknya, penjenayah akan segera meninggalkan mayat dan tempat kejadian atau pembunuh akan cuba melupuskan mayat sebelum ianya dijumpai oleh pihak polis,” ujar beliau.
Menurut Fathiyah, ketika pegawai tangkapan memasuki rumah itu, keadaan lantai yang bersih dan tidak terdapat kesan darah menunjukkan pembunuh telah membersihkan lantai yang pastinya berlumuran darah akibat tetakan pada bahu mangsa. – UTUSAN










