GOMBAK : Keluarga remaja lelaki yang maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan bihun dan telur goreng tidak mahu menyalahkan sebaliknya menganggap apa yang berlaku itu mungkin satu kebetulan.
Kamal Baihan, 53, bapa kepada Luth Izhar, 17, berkata, isterinya ada membawa pulang mihun dan telur goreng selepas menghadiri satu progam peringkat daerah di sebuah sekolah di Sungai Cincin dekat sini.
Katanya, dia bersama isteri serta Luth Izhar memakan bihun bersama telur goreng sementara dua lagi anak perempuannya hanya makan mihun.
“Arwah makan paling banyak telur itu kira-kira tiga biji dan selang tidak lama kemudian, saya, isteri dan arwah mulai sakit perut, tetapi dua anak perempuan saya tiada masalah.
“Saya tak sempat bawa arwah ke klinik kerana dia tidak larat bangun dan bergerak sendiri.
“Semalam, saya keluar sebentar ke klinik dan menyangka arwah tidak apa-apa namun sebaik pulang pada tengah hari saya terkejut kerana anak saya sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Selayang di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Kamal berkata, bedah siasat ke atas anaknya yang dijalankan di Hospital Selayang hari ini belum dapat memastikan punca sebenarnya kematian anak bongsunya itu.
“Keputusan bedah siasat pun mungkin akan ambil masa lama untuk pastikan perkara ini sama ada kematian anak saya disebabkan oleh keracunan atau tidak.
“Tetapi ada beberapa aduan (tentang keracunan) lain termasuk seorang kanak-kanak meninggal dunia,” jelasnya. – UTUSAN










