Azlee Senario stabil, perlu lebih rehat - Utusan Malaysia

Azlee Senario stabil, perlu lebih rehat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Azlee Senario berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan doktor selepas dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anggota Senario berkata, Yassin berkata, Azlee sudah boleh bercakap tetapi masih memerlukan masa untuk berehat sebelum kembali aktif dengan aktiviti seni.

“Azlee dikejarkan ke IJN malam tadi selepas pengsan. Dia dalam keadaan separa sedar ketika dikejarkan ke IJN sekitar pukul 9 malam tadi.

“Ketika itu, doktor memaklumkan jantungnya tersumbat hampir 90 peratus dan selepas menjalani pembedahan, doktor berjaya membuka saluran dan dia kini stabil.

“Dia sudah boleh berbual seperti biasa. Cuma doktor menasihatkan dia untuk berehat. Sepatutnya kami ada program di Kelantan esok, tetapi dia tak dapat sertai sebab masih perlu berehat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yassin memaklumkan, aktiviti seni melibatkan Senario tetap akan diteruskan walaupun kekurangan seorang anggota yang ketika ini perlu direhatkan sementara atas faktor kesihatan.

“Kami perlu teruskan sebab melibatkan program. Cuma mestilah ada rasa kosong itu, tetapi ini cuma sementara. Azlee perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu.

“Dia juga perlu menjaga pemakanan dan tidak boleh terlalu aktif buat masa sekarang. Dia sebelum ini ada gout. Cuma masalah jantung ini, baru tahu bila dia pengsan semalam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN