Arwah sempat lafaz syahadah sebelum tutup mata- Isteri Pyanhabib - Utusan Malaysia

Arwah sempat lafaz syahadah sebelum tutup mata- Isteri Pyanhabib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KLANG: Isteri Allahyarham Pyanhabib, Zurina Zakaria, 58, menyaksikan suaminya mengucap dua kalimah syahadah sebelum pelakon dan penyair itu menghembuskan nafas terakhir malam semalam.

Zurina memaklumkan, dia reda dan mengikhlaskan pemergian suami yang menemui pencipta kira-kira pukul 9.30 malam.

“Saya sempat ajarkan dia dua kalimah syahadah selain meminta maaf kepadanya. Saya cakap kepada dia kalau hendak pergi, pergilah, saya menyusul kemudian. Selepas itu perlahan-lahan matanya tertutup.

“Saya gembira dan bersyukur sebab dapat bersama dia saat akhir, momen ini takkan saya lupakan. Ramai yang datang menziarah selepas berita kematiannya tular.

“Rupanya-rupanya ramai yang sayangkan dia,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di Masjid As-Sobirin di sini, pagi tadi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di sini, pada jam 11:25 pagi tadi.

Pengebumiannya dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada keluarga, kenalan terdekatn penggiat seni dan sastera.

Turut kelihatan adalah Datuk M.Nasir, Uji Rashid, Farid Kamil, Amerul Affendi dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid As Sobirin, Lembah Keramat, Ampang bagi memberi penghormatan terakhir kepada pelakon dan penyair tersebut.

Zurina berkata, Allahyarham sebelum ini mengalami bengkak kaki selain penglihatannya merosot.

“Semalam dia jatuh di bilik air disebabkan penglihatannya kabur.

“Arwah juga tertidur dalam bilik air sebelum kami kejutkan dan bawa dia keluar. Keadaannya ketika itu lemah dan sukar bernafas seperti biasa,” katanya lagi.

Zurina memaklumkan dia juga sempat memberikan bantuan pernafasan kepada arwah sementara menunggu ambulans sampai ke rumah.

“Waktu itu kepala suami atas bahu dan saya ingat dia sudah meninggal dunia,” ujarnya.

Allahyarham semasa hayatnya sinonim dengan dunia seni dan sastera. Arwah sejak tahun a970-an, aktif menulis puisi yang diterbitkan dalam akhbar dan majalah terbitan Dewan Sastera.

Pyann juga pernah menghasilkan beberapa buku antaranya Suara dan Saraf Dukaku. Pada tahun 2015, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Balada Pyanhabib, sebuah koleksi lengkap kepenyairan beliau.

Pyann menyertai Utusan Melayu pada tahun 1983 sebagai pengarang Mastika sebelum bertukar ke jabatan pengarang Utusan sebagai penyunting sehingga tahun 2000.

Pada tahun 1986, Pyan terjun ke dalam bidang lakonan bersama M.Nasir dan Nasir Jani menerusi filem Kembara Seniman Jalanan.

Lakonannya mendapat perhatian ketika membintangi filem Tsu Feh Sofiah yang melayakkan arwah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Festival Filem Malaysia ke-7.

Allahyarham bagaimanapun menolak penganugerahan tersebut kerana merasakan anugerah itu patut diberikan kepada penggiat filem dan bukan kepada dirinya yang datang daripada bidang penulisan.

Antara naskhah lain lakonan Pyann adalah Tak Kisahlah Beb, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN