Banyak cerita belakang tabir yang Cik Bunga dengar mengenai pemergian Allahyarham, Nabil Zamanhuri, penyanyi yang juga bekas peserta program Mentor 2015.
Apa yang pasti, bukan cerita tidak baik mengenai arwah sebab dalam kalangan mereka yang mengenali, tahu dan setuju bahawa arwah Nabil sangat baik orangnya.
Tetapi, punca kematiannya yang menyebabkan ia menjadi bualan ramai dan menyebabkan rata-rata menyesali tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu atau merubah keadaan. Iyalah, siapa sahaja yang boleh terima, punca kematian disebabkan tekanan dan bebanan kerja melampau? Bukan satu bahan jenaka. Ini serius. Allahyarham Nabil dikatakan terlalu dibebani dengan kerja sehinggakan hujung minggu pun terpaksa berkorban masa meninggalkan keluarga demi kerja.
Di mata Cik Bunga, ia bukan kerana komitednya dia sebagai seorang pekerja.Tetapi kerana tanggungjawabnya sebagai seorang suami, bapa dan anak yang perlu menyara keluarga. Kalau tidak kerja, macam mana hendak sara keluarga?
Jadi, sehabis daya dia berusaha juga buat apa sahaja kerja demi keluarga. Cik Bunga percaya, arwah Nabil bukan jenis yang kuat melawan. Jadi, kalau majikan suruh dia buat apa pun, dia akan buat saja tanda menurut walaupun tahu diri diperlakukan bak bola. Kejap ke sana, kejap ke sini.
Itu antara yang Cik Bunga dengarlah. Sebab itulah, Cik Bunga kata, kasihan sebenarnya dengar kisah Nabil. Iyalah, memang kita tidak minta jatuh sakit, siapa yang suka bukan?
Tetapi isu-isu macam ini sepatutnya membuatkan majikan atau produksi dalam industri seni ini ambil maklum dan buat perubahan yang baik demi kesejahteraan pekerja.
Kalau tidak silap, artis lain pun pernah alami situasi lebih kurang sama. Contohnya, Janna Nick, Sharifah Sakinah, Shila Amzah, yang pernah bercakap mengenai isu burnt out atau tidak cukup rehat kerana kerja.
Nasihat Cik Bunga, walaupun Cik Bunga sendiri pun seorang yang ‘workaholic’, tetapi kalau boleh, jagalah kesihatan diri. Kalau ada masa rehat, ambil masa itu dan manfaatkan sebaiknya.
Memanglah kita kena kerja demi mencari pendapatan, tetapi pada masa sama, kesihatan pun kena jaga.









