Anderson Thunderbolts naib juara Divisyen 1 Liga Hoki Remaja Kebangsaan - Utusan Malaysia

Anderson Thunderbolts naib juara Divisyen 1 Liga Hoki Remaja Kebangsaan

PEMAIN Anderson Thunderbolts meraikan kejayaan mengatasi Akademi Hoki MBPJ pada perlawanan Liga Hoki Remaja Kebangsaan Bahagian 1 di Stadium Azlan Shah Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Faiz Afzan muncul wira Anderson Thunderbolts apabila menyumbang gol kemenangan ketika wakil Perak itu menundukkan Akademi Hoki MBPJ 3-2 di Stadium Azlan Shah semalam.

Pemain itu berjaya menyambar hantaran silang Muhammad Haris Kamaruddin untuk meledak gol kemenangan buat pasukan Anderson.

Dengan kemenangan tipis 3-2 pada aksi perlawanan terakhir semalam sudah cukup untuk Anderson Thunderbolts menamatkan saingan Liga Hoki Remaja Kebangsaan Bahagian 1 pada kedudukan kedua terbaik keseluruhan liga di belakang juara baru, PHJ-MSNJ.

Anderson juga layak ke saingan Piala TNB yang bermula pada Selasa ini.

Anderson dan PHJ-MSNJ berkongsi 21 mata namun jumlah jaringan menjadi pemisah antara dua pasukan itu.

Pada perlawanan semalam, Anderson Thunderbolts dan Akademi Hoki MBPJ saling memberikan tentangan untuk cuba membolosi gawang lawan masing-masing.

Anderson terlebih dahulu berjaya merobek gawang MBPJ pada minit ke-14 melalui gol padang Firqin Mirza seminit sebelum suku pertama ditamatkan.

Memasuki suku kedua, MBPJ menggandakan serangan dan berjaya menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-19 melalui gol padang Muhammad Danish Ahnaf dan seterusnya pada suku ketiga MBPJ menambahkan lagi jaringan pada minit ke -35 melalui Muhamad Faris Najmi.

Ketinggalan 1-2 pada suku keempat, Anderson Thunderbolts bangkit dan berjaya menjaringkan gol penyamaan oleh Muhammad Izz Zafri Mohd Nizam pada minit ke-53

Gol itu menyemarak semangat pemain Anderson dan berselang tiga minit kemudian, Faiz Afzan muncul wira Anderson Thunderbolts apabila menyambar hantaran silang Muhammad Haris Kamaruddin dan menghasilkan gol kemenangan buat pasukan Anderson serta mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN