KEMAMAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 994 saman atas pelbagai kesalahan ke atas pemandu warga asing, di seluruh negeri bermula Januari hingga Mei lalu.
Pengarahnya, Mohd. Zamri Samion berkata, menerusi Op Pemandu Warga Asing (Pewa), seramai 270 pendatang asing dari pelbagai negara termasuk Myanmar, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia ditahan.
“Antara kesalahan yang dikesan dilakukan mereka ialah memandu tanpa lesen, tiada perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Kenderaan yang digunakan mereka ini dipercayai dibeli dan disewa daripada penduduk tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Ops Pewa di sekitar daerah ini, hari ini.
Seramai 79 anggota penguat kuasa termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen menyertai operasi tersebut sejak semalam.
Mohd. Zamri memberitahu, sebanyak 235 buah kenderaan turut disita bagi tempoh yang sama.
Mengenai Ops Pewa yang dilaksanakan bermula semalam di sekitar daerah ini, beliau memberitahu, seramai 88 warga asing ditahan.
“Operasi di sekitar daerah ini dijalankan bagi mengekang kesalahan yang dilakukan warga asing yang mana kita menerima banyak aduan mengenai kesalahan yang dilakukan mereka.
“Kita telah melakukan risikan beberapa minggu dan kita juga menggunakan teknik penyamaran menerusi operasi ini. Kita bimbang dengan tindakan mereka yang semakin berani memandu tanpa lesen yang boleh membahayakan pengguna lain,” katanya. – UTUSAN










