70 termasuk warga emas khayal ditahan AADK

70 termasuk warga emas khayal ditahan AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seramai 70 individu termasuk warga emas telah ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika sedang leka berkhayal dalam serbuan ke atas empat ‘port’ dadah di sekitar Selangor di sini, semalam.

Kesemua yang ditahan terdiri lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun yang kebanyakannya bekerja sebagai pemandu lori, pekerja kilang dan penganggur.

Operasi bermula seawal tiga pagi itu dijalankan AADK Hulu Langat dengan bantuan anggota dan pegawai daripada AADK Gombak, AADK Kuala Langat serta AADK Sepang berakhir 8 malam semalam.

Serbuan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

AADK berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi pot dadah yang sudah dikenal pasti susulan risikan selama tiga minggu oleh anggota AADK Hulu Langat.

“Serbuan dijalankan di sekitar kawasan Kajang, Balakong dan Semenyih,” katanya di sini hari ini.

AADK berkata, lokasi terbabit sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu dan sudah kerap diserbu pihaknya namun ianya dikesan kembali aktif sejak kebelakangan ini.

Katanya, serbuan dijalankan susulan risikan pihaknya selama hampir sebulan berikutan maklumat daripada beberapa tangkapan awal sebelum ini.

“Kebanyakan mereka yang ditahan ini menggunakan dadah jenis methaphetamin atau lebih dikenali sebagai syabu dan heroin.

“Dadah ini dipercayai dijual pada harga sekitar RM50 hingga RM150 bergantung kepada jenis dadah,” jelasnya.

Menurut AADK, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis bagaimanapun pengedar atau ‘pusher’ berjaya melarikan diri ketika serbuan.

“Seramai 29 individu direman 11 hari di Pusat Tahanan Reman (PTR) Tampin, Seremban di Negeri Sembilan manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×