KOTA KINABALU: Kegiatan penyelewengan diesel tumpas apabila sebuah stor haram diserbu oleh pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Sabah di hadapan sebuah sekolah di Jalan Sin San, Pasir Putih Tawau, hari ini.
Dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 2.20 petang itu, pasukan penguat kuasa menemukan 4,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam 18 tong drum dan dalam tangki sebuah trailer, yang disyaki diseleweng.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai penjaga stor turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan risikan selama seminggu di lokasi tersebut sebelum serbuan dilakukan.
“KPDN turut menyita sebuah pacuan empat roda, sebuah tangki fiber yang telah diubah suai berkapasiti 1,000 liter, 18 tong drum berkapasiti 200 liter setiap satu, mesin pam minyak dan sebuah tangki trailer. Nilai keseluruhan barangan disita berjumlah RM 104,500.
“Berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala, bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta manakala, bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta
Georgie berkata, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran WhatsApp 019-848 8000 atau hubungi talian 1-800-886-800. – UTUSAN










