PUTRAJAYA: Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani yang dikelolakan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dilaksanakan dalam tiga kaedah iaitu kursus separuh hari, kursus satu hari dan kursus tiga hari dua malam.
Pada majlis pelancaran modul itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, AKM berkata, antara pengisian modul termasuk Sesi Penetapan Minda, Ceramah, Pasca Normal, Bina Kota Bina Insan, Interaktif Kenegaraan, Identiti (Jata Negara), Kestabilan dan Pengukuhan.
Menurutnya, kaedah penyampaian yang digunakan seperti ceramah, perbincangan, video interaktif, role play, kuliah dan perbincangan.
“Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani ini diolah dengan mengambil kira pelbagai aspek dan disesuaikan dengan agenda dan matlamat gagasan Madani.
“Kaedah pelaksanaan modul yang diperkenalkan ini juga menggabungkan kaedah konvesional dan pendigitalan supaya menarik minat pelbagai pihak khususnya golongan muda,” katanya.
Katanya, tiga elemen utama telah diadun untuk menghasilkan modul latihan ini yang berteraskan prinsip Sejarah Kenegaraan, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Jelasnya lagi, sebagai agensi pusat dalam menyelaras latihan Kenegaraan ini, AKM akan memastikan tidak berlaku sebarang pertindihan program yang membawa manfaat yang sama kepada rakyat jelata.
Menurut AKM, bagi mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan, segala program latihan kenegaraan kelak akan diselaraskan oleh AKM.
“Diharap modul latihan ini akan menjadi penanda aras, rujukan dan panduan dalam pelaksanaan program latihan kenegaraan kepada semua kumpulan sasar terlibat.
“Ia juga diharap dapat membuka lebih banyak ruang kolaboratif antara AKM dan agensi-agensi kerajaan, badan berkanun, swasta, badan bukan kerajaan dan pengamal media dalam menyemarakkan modul latihan itu,” katanya.
Secara rasminya AKM ditubuhkan pada awal tahun 2024 dan gerak kerja pembangunan modul ini terus bermula sejak AKM diwujudkan. – UTUSAN










