2.52 juta kenderaan pada hari puncak sempena Aidiladha

2.52 juta kenderaan pada hari puncak sempena Aidiladha

PLUS menjangkakan sebanyak 2.52 juta kenderaan pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam pada Isnin ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Purata jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya utama di negara dijangka mencecah 2.52 juta pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut umat Islam pada Isnin ini.

Pertambahan jumlah kenderaan tersebut dijangka berlaku secara berperingkat bermula semalam sehingga Selasa depan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun berkata, sepanjang tempoh itu, purata trafik di lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS Berhad dijangka akan mencapai sehingga 2.2 juta kenderaan setiap hari.

“Manakala di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) masing-masing mencecah sehingga 181,000; 80,000 dan 60,000 kenderaan setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, LLM telah bersiap sedia sepenuhnya dan mengambil langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dengan mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya mengambil langkah-langkah bagi meminimakan kesan peningkatan trafik ini.

“Bermula pada 12 Jun lalu hingga 19 Jun ini, semua syarikat konsesi lebuh raya diarahkan menghentikan kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan.

“Selain itu, bagi mengurangkan kesesakan, LLM dan syarikat konsesi akan mengaktifkan 20 lokasi laluan ‘smart lane’ di lokasi yang telah dikenalpasti di Lebuhraya PLUS.

“Pengaktifan dimulakan semalam sehingga 18 Jun ini dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 18 Jun ini,” katanya.

LLM turut mengarahkan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi.

“Syarikat konsesi juga perlu menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.

“Seterusnya menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa Kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL-Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Pantai Timur 2,” katanya.

Mengulas lanjut, Sazali berkata, syarikat konsesi turut diarahkan untuk memastikan kebersihan tandas dengan meningkatkan bilangan petugas selain memastikan bekalan air mencukupi.

“Bekalan minyak di semua stesen minyak juga perlu dipastikan cukup dengan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan pengguna lebuh raya,” katanya.

LLM turut menasihat pengguna supaya merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan TTA oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

“Pengguna yang menggunakan ‘smart lane’ boleh menggunakan bahu jalan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.

“Bagi penunggang motosikal, dinasihatkan berhati-hati jika menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya dan berteduh di tempat berteduh penunggang motosikal yang telah disediakan semasa cuaca buruk,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta Tik Tok @llmtrafik.

Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian hotline 1 – 800 – 88 – 7752 atau melayari laman sesawang http://www.llm.gov.my untuk maklumat keadaan semasa trafik melalui paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh lebuh raya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN