1MDB mohon beku RM1.6b harta Rosmah

1MDB mohon beku RM1.6b harta Rosmah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lima anak syarikatnya telah memfailkan permohonan untuk membekukan aset milik Datin Seri Rosmah Mansor berjumlah RM1.6 bilion (AS$346 juta).

Selain itu, 1MDB menyatakan, Rosmah tidak boleh membawa keluar atau melupuskan atau mengurangkan nilai asetnya berjumlah US$346.01 juta, sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, harta tanah, atau lain-lain yang berada di dalam atau luar negara.

“Defendan pertama (Rosmah) berhak untuk mengeluarkan dan membelanjakan daripada satu akaun bank atau sumber yang lain tidak melebihi RM10,000 sebulan atau apa-apa jumlah lain yang diperintahkan oleh Mahkamah, yang diperlukan oleh defendan pertama bagi perbelanjaan sara hidup biasanya dan nasihat dan perwakilan undang-undangnya,” ujar permohonan tersebut.

Permohonan perintah injunksi mareva itu difailkan pada di Mahkamah Tinggi di sini kelmarin. Perintah Mareva ialah perintah mahkamah yang pada dasarnya membekukan aset defendan untuk menghalang sebarang pemindahan aset tersebut yang plaintif ingin dapatkan semula, sehingga pelupusan atau penentuan saman utama.

Lima anak syarikat yang dinamakan sebagai plaintif dalam permohonan tersebut ialah SRC International Sdn. Bhd., 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (1MDB Global Investments Ltd) sebagai plaintif kedua hingga keenam.

Selain itu, entiti-entiti pesisir luar yang turut menjadi plaintif ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Hol­dings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Permohonan perintah injunksi mareva itu akan didengar pada 14 Jun ini.

Pada 24 Mac 2022, SRC International dan sebuah anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn. Bhd. memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai sehingga RM42 juta.

Pada 24 November 2023, 1MDB berjaya memperoleh perintah injunksi mareva Najib yang menghalangnya memindahkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai di Malaysia bernilai US$681 juta (RM3.2 bilion).

Sementara itu, dalam kes saman berlainan tetapi membabitkan pihak-pihak yang sama, 1MDB, lima anak syarikatnya dan lima entiti pesisir luar mendakwa Rosmah telah membeli barangan mewah berjumlah AS$346 juta (RM1.6 bilion) di 14 buah negara di antara 2010 and 2014.

Pembelian tersebut didakwa menggunakan wang yang telah diseleweng daripada plaintif.

Pembelian barangan mewah antaranya barang kemas dan beg tangan itu membabitkan 48 vendor antaranya dari British Virgin Islands (satu), Hong Kong (sembilan), India (empat), Indonesia (dua), Itali (tiga), Lubnan (tiga), Mauritius (satu), Panama (satu), Singapura (satu), Thailand (dua), Emiriah Arab Bersatu (tujuh), Turki (dua), United Kingdom (dua) dan Amerika Syarikat (tujuh).

Selain itu terdapat tiga vendor yang tidak diketahui lokasinya.

Perkara itu dinyatakan oleh kesemua plaintif dalam penyataan tuntutan setebal 515 muka surat yang difailkan pada 4 Jun lalu.

“Antara tempoh tahun 2010 dan 2014, lapan entiti di bidang kuasa luar pesisir (foreign jurisdiction) termasuknya plaintif-plaintif ketujuh hingga ke-11 telah membuat 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489 kepada 48 vendor barangan mewah yang berbeza.

“Bayaran-bayaran ini telah dibuat untuk pembelian barangan mewah bagi defendan pertama (Rosmah) dan barangan mewah ini telah diterima oleh defendan pertama,”ujar 1MDB.

Sebelum ini, Rosmah pernah disaman oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan untuk mendapatkan kembali 43 barang kemas yang bernilai RM67.5 juta.

Pada 24 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan 1MDB, anak-anak syarikatnya dan lima entiti pesisir luar selaku plaintif untuk memfailkan penyataan tuntutan tersebut.

Kesemua plaintif memfailkan writ saman terhadap Rosmah dan seorang wanita bernama Shabnam Naraindas Daswani atau turut dikenali dengan nama Natasha Mirpuri pada 10 Mei lalu.

Laporan media sebelum ini menyatakan Shabnam merupakan seorang pereka fesyen daripada Singapura dan sering membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.

Menurut writ yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kesemua barangan mewah tersebut telah diperoleh Rosmah bukan dengan menggunakan wangnya sendiri tetapi dengan menggunakan dana yang diselewang daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya.

“Dana (yang diseleweng) telah disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 sebelum pembayaran dibuat kepada 48 vendor-vendor luar negara untuk pembelian barangan mewah ini. Sebanyak 320 bayaran berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat,” menurut writ tersebut.

Oleh itu, 1MDB dan anak-anak syarikatnya ­memohon agar Rosmah membayar AS$346,010,489 atau satu jumlah yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Kesemua plaintif turut memohon perintah agar Shabnam membayar ganti rugi atau pampasan yang akan ditaksirkan kemudian.

Selain itu, plaintif-plaintif turut memohon dekla­rasi plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan-barangan me­wah tersebut yang kini didakwa berada dalam simpanan Rosmah.

Kesemua plaintif turut me­mohon perintah agar Rosmah mengembalikan barangan-barangan mewah itu kepada plaintif pertama hingga keenam. Turut dimohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN