KULIM: Kira-kira 175,000 pemilik kenderaan barangan yang belum mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 akan rugi jika tidak berbuat demikian sehingga Ahad ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pemilik yang mendaftar selepas 30 Jun ini tidak layak untuk membuat tuntutan pembelian diesel yang dilakukan bagi tempoh 10 Jun hingga akhir bulan ini.
“Sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini mereka layak untuk membuat tuntutan di atas perbelanjaan membeli diesel di pam yang tidak ada lagi harga subsidi dengan syarat mereka buktikan dengan resit belian.
“Tetapi kalau daftar pada Julai tak boleh tuntut lagi untuk resit-resit sepanjang Jun walaupun kita membuka terus pendaftaran ini kepada pemilik kenderaan yang layak, maka rugi kalau mereka tak mendaftar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0 dan Karnival Kepenggunaan Negeri Kedah di sebuah pasar raya di sini, semalam.
Fuziah memaklumkan, hanya 234,000 kenderaan yang layak di bawah SKDS 2.0 mendaftar setakat hari ini walaupun rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sebanyak 410,000 kenderaan kategori itu berada di atas jalan raya.
“Jadi lebih kurang 175,000 kenderaan yang belum didaftarkan oleh pemilik terlibat bagi mendapatkan fleet card. Kita mengambil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan mereka daftar segera.
“Antaranya dengan menganjurkan Hari Terbuka SKDS 2.0 dan menyediakan kaedah pendaftaran secara dalam talian untuk membantu mereka mendaftarkan kenderaan masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya keluhan kontraktor G1 yang berdepan kenaikan kos sebahagian barang binaan akibat alasan penyasaran subsidi diesel itu, beliau memberitahu sudah bertemu dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Timbalan Menterinya memaklumkan mereka akan mengadakan sesi libat urus dengan kontraktor-kontraktor berkenaan sebab kita tahu ada kesan kepada kos pengubahsuaian yang kecil misalnya melibatkan rumah-rumah yang pemiliknya kategori B40.
“Sekiranya ada keperluan untuk melihat kepada kategori ini secara spesifik, maka KPKT wajar mengangkat perkara berkaitan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk diteliti,” katanya.
Bagaimanapun, Fuziah berkata, KPDN tidak teragak-agak untuk bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika ada kenaikan kos yang tidak wajar memandangkan tidak semua barangan binaan berada dalam kategori yang patut dinaikkan harga. – UTUSAN










