1,200 pengusaha bas pekerja rayu subsidi diesel - Utusan Malaysia

1,200 pengusaha bas pekerja rayu subsidi diesel

Subsidi diesel
JACKIE Chew Soo Mee (tengah) menunjukkan surat permohonan itu bersama pengusaha bas pekerja ketika ditemui pemberita dekat Kota Kemuning, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 1,200 pengusaha bas pekerja merayu kerajaan mempertimbangkan kemasukan sektor itu dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 susulan kenaikan harga minyak diesel mulai Isnin lalu.

Golongan itu kini terbeban kerana terikat dengan kontrak kilang antara satu hingga tiga tahun bagi khidmat pengangkutan tersebut, keadaan itu jelas memberi tekanan kepada mereka yang perlu mengeluarkan modal sendiri bagi menampung kenaikan harga diesel.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Pekerja Malaysia, Jackie Chew Soo Mee berkata, pengusaha tidak boleh sewenangnya menaikkan harga tambang kerana ikatan kontrak lama dengan pihak kilang.

“Pengusaha sebelum ini mengeluarkan belanja diesel sebanyak RM3,500, namun kini ia mencecah RM5,000 sebulan tidak termasuk servis dan penukaran alat ganti kenderaan.

“Mereka dahulu hanya memperoleh sedikit keuntungan selepas membayar gaji pemandu dan keadaan pasti lebih memburuk ketika ini,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama lebih 200 pengusaha bas pekerja di seluruh negara berkumpul bagi menyatakan rayuan mengenai isu tersebut.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini memaklumkan syarikat yang mahu memohon SKDS 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan Kementerian Kewangan.

Ia melibatkan kenderaan antaranya seperti Lori Rigid, Bas Perkhidmatan Bergerak dan Van Perkhidmatan Bergerak.

Tambah Jackie, pihaknya sudah menyerahkan surat permohonan kepada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan pada 6 Jun lalu namun belum menerima sebarang maklum balas.

“Kami sudah menggunakan saluran betul bagi menyuarakan masalah itu dan menanggung beban serta merta. Justeru, kami memohon jasa baik kerajaan mempertimbangkannya kerana mereka turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×