10 nelayan Vietnam leka tangkap ikan ditahan - Utusan Malaysia

10 nelayan Vietnam leka tangkap ikan ditahan

SEBAHAGIAN daripada 10 nelayan Vietnam yang ditahan APMM setelah didapati menangkap ikan di perairan negara di Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 10 nelayan Vietnam yang sedang leka menangkap ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 97 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Khairulanuar Abd. Majid berkata, kesemua mereka ditahan bersama sebuah bot, hasil laut dan peralatan menangkap ikan bernilai keseluruhan RM1 juta.

Beliau berkata, sebelum ditahan dalam Op Naga Barat itu, nelayan asing terbabit sedang asyik menangkap ikan di perairan negara lalu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Cubaan mereka meloloskan diri berjaya dipatahkan apabila ditahan pada kedudukan 97 batu nautika dari muara Kuala Terengganu kira-kira pukul 6.30 petang pada Sabtu.

“Pemeriksaan mendapati 10 kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 30 sehingga 60 tahun berada di dalam bot berkenaan dan gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka disyaki menangkap ikan tanpa kebenaran iaitu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairulanuar menjelaskan, sebanyak 13 kes pencerobohan nelayan asing warga Vietnam telah direkodkan APMM Terengganu sejak Januari sehingga kini.

Katanya, kesemua kes berkenaan membabikan nilai rampasan dianggarkan lebih RM13.5 juta serta penahanan 103 kru dan tekong.

“APMM Terengganu terus meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negara dengan mengatur gerak aset bagi tujuan rondaan bagi mengekang isu pencerobohan nelayan asing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN