Zahid ingatkan Sanusi jaga percakapan, tidak melalut malam ini - Utusan Malaysia

Zahid ingatkan Sanusi jaga percakapan, tidak melalut malam ini

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan tetamu dan ahli parti yang hadir pada Majlis Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di Kolej Mara Kuala Nerang. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pimpinan kerajaan negeri agar menjaga percakapan dan mengikut cara sebenar ‘berkawan’ dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurut Presiden UMNO itu, beliau juga telah mengingatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor supaya tidak ‘melalut’ dalam ucapannya sempena Majlis Rumah Terbuka Madani di Jitra, malam ini.

“Minggu lepas saya jumpa Sanusi dalam satu mesyuarat dan saya beritahu padanya hang jangan melalut macam-macam. Saya akan tengok malam ini.

“Petang nanti mereka akan minta peruntukan pembangunan negeri dan kalau nak berkawan, ikutlah cara berkawan. Minta (peruntukan) tetapi kutuk orang.

“Sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu baik hati. Saya akan beritahu Perdana Menteri kalau orang itu loqlaq dan kurang ajar, jangan bagi apa-apa,” katanya ketika berucap pada Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Padang Terap di sini, hari ini.  

Katanya, kerajaan sentiasa mahu memastikan supaya kawasan terpinggir dimajukan termasuk di negeri-negeri pembangkang.

“Tetapi belajarlah daripada pengalaman supaya kita tidak dipatuk ular sama, di tempat sama. Ular tetap ular termasuklah ‘ular mak’. Saya sungguh hormat ulama tetapi saya tak akan pernah hormati ulama politik yang cakap pagi lain, petang lain dan esok lain.

“Saya pernah ada pengalaman pahit semasa mereka ada dengan kita dalam Muafakat Nasional (MN) dan penyatuan ummah,” katanya.

Tambahnya, golongan tersebut tidak berpegang kepada janji dan kerap memungkirinya yang mana Ketua Sekretariat MN serta Perpaduan Ummah, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki boleh menjadi saksi.

“Mereka tentukan tarikh tetapi selepas tujuh kali dipinda, baru bermesyuarat. Itu pun tak semua yang datang. Bukan itu saja, malah keputusan yang telah diterima kedua-dua pihak, esok lain yang mereka buat,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau mengingatkan Asyraf selaku Setiausaha Agung UMNO supaya hanya melakukan rundingan sewaktu UMNO berada dalam keadaan yang kuat.

“Jangan berunding sewaktu kita lemah. Oleh sebab itu, kita perkuatkan semula UMNO supaya apabila kita berunding, kita sentiasa dapat apa yang dimahukan demi kepentingan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat keseluruhan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN