Wujud pasukan khas tangani budaya merokok di kedai makan

Wujud pasukan khas tangani budaya merokok di kedai makan

PERBUATAN merokok di tempat awam terutama di kedai makan kebelakangan ini dilihat semakin menjadi-jadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mewujudkan pasukan khas penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan dan restoran bagi mengelak lebih ramai individu terdedah dengan asap rokok.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, penguatkuasaan merokok di premis makanan perlu dipertingkatkan.

Kata beliau, premis makanan sepatutnya menyediakan persekitaran yang selamat dan bebas daripada asap rokok memandangkan lokasinya menjadi kunjungan ramai setiap hari termasuk kanak-kanak.

“KKM perlu mewujudkan pasukan khas penguatkuasaan merokok di premis makanan dan restoran yang terdiri dari Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran agar dapat memantau sepenuhnya premis makanan ini

“Penambahan anggota di lapangan diperlukan bagi memastikan penguatkuasa larangan merokok di premis makanan berjaya tercapai,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah laporan daripada Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 mendedahkan hampir 80 peratus responden yang disoal selidik di Malaysia menyatakan mereka mendapat pendedahan asap rokok melalui premis makanan dan restoran.

Adnan berkata, jumlah 5,000 lebih jawatan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran untuk menguatkuasakan larangan merokok itu tidak mencukupi kerana turut dibebani dengan tugas-tugas lain.

Katanya, kewujudan jawatan khas dan penambahbaikan jawatan diperlukan bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok.

“CUEPACS memohon KKM dapat memastikan jawatan kontrak bagi Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran diserap ke jawatan tetap agar akan terus berkhidmat.

“Kita tidak mahu setiap undang-undang yang dilaksanakan sekadar di atas kertas sahaja kerana langkah menguatkuasakan undang-undang tersebut tidak dapat dilakukan hanya disebabkan kekurangan anggota penguat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya