LANGKAWI: Seorang lelaki warganegara Thailand dituduh di Mahkamah Majistret Langkawi, hari ini atas kesalahan mengedar dadah di negara ini, lebih dua bulan lalu.
Wirasak Tialek, 41, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Mengikut pertuduhan, dia didapati mengedar dadah bahaya jenis methamphetamine dengan berat anggaran 1.3 kilogram (kg).
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pemeriksaan penumpang, Laluan Ketibaan Antarabangsa Jeti Kuah Langkawi antara pukul 2.30 petang hingga 2.40 petang, pada 6 Mac lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Normaliza Mat Isa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nurul Natasha menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, suspek ditahan semasa tiba di jeti berkenaan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan oleh pegawai JKDM Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi.
Hasil pemeriksaan mendapati, dia membawa kira-kira 14,000 pil methamphetamine dengan anggaran nilai RM210,000. -UTUSAN









