HULU SELANGOR: Seorang warga emas penghidap strok enggan melepaskan peluang untuk menunaikan kewajibannya sebagai pengundi untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu
Malah, dia amat yakin dengan memilih wakil rakyat yang betul, dapat membela nasib orang kurang upaya (OKU) sepertinya.
Anching Itap, 60, berkata, dia tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akibat penyakit tersebut, namun berpeluang melakukannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun lalu.
Menurutnya, dia tetap hadir ke pusat pengundian dekat Tadika Kemas Kampung Gerachi Jaya, Kuala Kubu Baharu walaupun masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya keluar mengundi pada PRK kali ini kerana mahu wakil rakyat atau kerajaan memberi perhatian dan tumpuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk yang senasib dengan saya sebagai pesakit strok.
“Entah bila boleh pulih sepenuhnya, atau tidak berpeluang langsung, tetapi biarlah bila saya dapat terima perkhidmatan kerajaan dengan baik. Justeru, amat penting bila saya mengundi, pihak yang menang pula mesti berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu dia menjadi salah seorang daripada 199 pengundi berdaftar mengundi di pusat pengundian tersebut.
Tambah Anching, dia turut menzahirkan kebimbangan terhadap OKU serta warga emas sepertinya jika tidak mendapat pembelaan oleh wakil rakyat atau kerajaan untuk memastikan dapat menjalani hidup seperti orang biasa.
“Saya berharap kepada bakal wakil rakyat pada PRK Kuala Kubu Baharu kali ini dapat membela nasib rakyat yang sama nasib dengan saya iaitu warga orang kurang upaya (OKU) disebabkan strok.
“Saya diserang strok kira-kira tiga tahun lalu, cuma tak ingat bulan berapa kena. Tetapi, masa hari diserang, tiba-tiba separuh dari badan saya tidak boleh bergerak menyebabkan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital,” luahnya.
Untuk rekod, seramai 39,362 pengundi berdaftar berpeluang mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu yang berlangsung hari ini untuk memilih salah seorang wakil dalam persaingan empat penjuru.
Kesemua calon bertanding iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). – UTUSAN










