PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menambah jumlah kejuaraannya yang keenam pada Karnival Sukan MASUM 2024.
UiTM juga telah menamatkan kejohanan fasa 2 dengan cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan MASUM 2024 dengan kutipan pingat 41 emas, 29 perak dan 27 gangsa secara keseluruhan fasa 1 dan fasa 2.
Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed berkata, kejayaan ini telah diduga kerana komitmen yang diberikan oleh para atlet dan pengurusan sangat tinggi.
Menurutnya, sukan MASUM pada kali ini terpaksa dianjurkan pada waktu semester bermula.
“Para atlet terpaksa mengorbankan masa belajar mereka demi berjuang untuk menaikkan nama UiTM.
“Komitmen yang diberikan oleh atlet dan juga pengurusan amatlah memberangsangkan dengan cuaca yang tidak menentu mereka tetap meneruskan latihan. Kejayaan ini hasil daripada usaha mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis penutup berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MASUM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
Antara pencapaian terhebat UiTM adalah berada pada kedudukan ke-104 dalam QS Asia University Rankings 2023, berada pada kedudukan 651-700 dalam QS World University Rankings 2022, serta berada pada kedudukan 361-380 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2023 dan ke-4 di Malaysia. – UTUSAN











