PETALING JAYA: Tujuh polis termasuk seorang berpangkat Asisten Komisioner yang ditahan berhubung kes pemerasan kes kripto RM1.25 juta kini direman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Selain Asisten Komisioner, ia turut membabitkan seorang Deputi Superintenden, tiga Inspektor, Sarjan (1) dan Lans Koperal (1).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua pegawai dan anggota berusia 32 hingga 50 tahun itu kini direman 28 hari mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bermula semalam sehingga sehingga 5 Jun ini
“Hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan mendapati kumpulan ini bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah kesalahan serius dengan tujuan untuk mendapatkan faedah.
“Justeru, penahanan ini bagi membantu siasatan lanjut dijalankan pihak polis sekiranya terdapat elemen lain,”katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Razarudin, seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Inspektor juga ditahan selepas menyerah diri semalam.
“Individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012 dan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini”katanya.
3 Mei lalu, Razarudin dilaporkan tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat malam sebelumnya.
Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Susulan penahanan kelima-lima individu terbabit polis kemudian menahan seorang lagi Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan yang sama.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang /Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.- UTUSAN










