GEORGE TOWN : Syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) komited memperluas cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta melalui pengoperasian Terminal Bas Sungai Nibong (TSN) di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Untuk itu, UDA melalui Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA (UDA PIMD) menjalin kerjasama strategik dengan Easybook (M) Sdn. Bhd. (Easybook) iaitu syarikat yang membekal sistem pengurusan terminal, sistem tiket berpusat serta sistem jualan tiket dalam talian bagi menguruskan terminal tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, melalui kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan terminal bas, UDA optimis untuk meneroka peluang mengendalikan TSN bersama-sama dengan Easybook dalam usaha mengembangkan salah satu cabang perniagaan pelaburan serta pengurusan harta.
“Usaha ini merupakan salah satu daripada strategi UDA dalam membangunkan semula serta memodenkan infrastruktur di kawasan bandar seterusnya mewujudkan kehidupan yang harmoni dan menyumbang ke arah kesejahteraan komuniti setempat.
“Ia juga seiring dengan konsep penjenamaan UDA iaitu LIFE yang merujuk kepada Legacy (legasi), Integrated (integrasi), Finesse (ketelitian) dan Enrich (memperkasa),” katanya sempena majlis perasmian projek menaik taraf Terminal Bas Sungai Nibong itu di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye itu ialah Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA, Azrudyn Rashid serta Pengasas dan Pengarah Urusan Easybook, William Lee.

Untuk rekod, projek menaik taraf dan pengurusan operasi TSN yang berkeluasan 42,112 kaki persegi ini bermula pada 2021 dan siap sepenuhnya April lalu.
Projek bernilai RM7 juta itu meliputi kerja-kerja membaik pulih dan mengubah suai bangunan terminal, membina bangunan tambahan, membaik pulih serta menambah baik kawasan tempat letak kereta, menaik taraf sistem pengurusan terminal selain menaik taraf sistem jualan tiket yang merangkumi pelaksanaan sistem tiket berpusat secara berpusat dan dalam talian.
Mengulas lanjut, Mohd. Salem berkata, inisiatif menaik taraf terminal bas itu juga bertepatan dengan fokus UDA selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam mempergiat aktiviti keusahawanan dengan menyediakan ruang niaga yang kondusif.
“Kini, terminal tersebut mempunyai sembilan ruang niaga dan satu medan selera. UDA turut merancang untuk menambah gerai jualan (kiosk) tambahan bagi membantu lebih ramai usahawan terutamanya bagi kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan dan menjalankan perniagaan di lokasi yang strategik,” katanya.
Tambah Mohd. Salem, langkah proaktif UDA ini juga selari dengan hasrat syarikat itu untuk meneruskan legasinya serta bergerak ke arah kelestarian yang seterusnya menyumbang kepada perpaduan serta pembangunan ekonomi di Pulau Pinang dan memperkasa Ekonomi Madani.
Dalam pada itu, William Lee memberitahu, kos asal pembangunan terminal tersebut ialah RM6.2 juta yang merangkumi pembangunan sistem serta kerja-kerja menaik taraf bangunan.
“Bagaimanapun, kos keseluruhan kerja-kerja naik taraf TSN ini mencecah lebih RM7 juta kerana peningkatan kos bahan binaan dan juga melibatkan kerja-kerja tambahan seperti penyediaan tandas, jubin lantai baharu, kos sistem Easybook Terminal Management System (ETM) serta lain-lain,” katanya.-UTUSAN










