Tiga parah dalam nahas babitkan empat kenderaan

Tiga parah dalam nahas babitkan empat kenderaan

KEADAAN empat buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang.-GAMBAR IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN :Lima cedera dengan tiga daripadanya parah dalam satu nahas jalan raya membabitkan empat buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 malam itu, seorang lagi mangsa yang tidak dapat dikenal pasti identitinya bagaimanapun dilaporkan terselamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, empat buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah tiga buah kereta iaitu sebuah Perodua Bezza, sebuah BMW dan sebuah Toyota Estima selain sebuah motosikal jenis Modenas.

Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian itu, pihaknya bergegas ke lokasi dengan kekuatan 10 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.

“Mangsa pertama iaitu seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an mengalami cedera parah dan tersepit dalam kereta Perodua Bezza di ruangan pemandu. Dia bagaimanapun berjaya dikeluarkan tidak lama selepas itu.

“Sementara itu, mangsa kedua dan ketiga, masing-masing terdiri daripada seorang lelaki berusia 60-an serta wanita berusia 20-an yang menaiki kereta sama pula hanya mengalami cedera ringan,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap tersebut berkata, turut parah ialah mangsa keempat yang dipercayai pemandu BMW berusia 30-an serta mangsa keenam yang juga merupakan penunggang motosikal.

“Satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu ialah mangsa kelima yang dipercayai menaiki Toyota Estima,” kata beliau.

Difahamkan, ketika kejadian, hujan lebat dan punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN