Tiga individu mengaku tak bersalah tipu pelaburan berjumlah RM23,635 - Utusan Malaysia

Tiga individu mengaku tak bersalah tipu pelaburan berjumlah RM23,635

TERTUDUH dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, bagi menghadapi pertuduhan menipu wang dua kakitangan sebuah kilang sarung tangan berjumlah RM23,635 bagi tujuan pelaburan. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas dua pertuduhan menipu wang dua kakitangan sebuah kilang sarung tangan berjumlah RM23,635 bagi tujuan pelaburan pada 2020 lalu.

Tertuduh, Suchart a/l Ee@Quah, 58, Mohd Nuruddin Azhar, 37, dan Kamontip a/p Chu @ Chim,50, hanya mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan dan memohon untuk dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh didapati menipu Abdul Majid Azenan, 31, dengan memperdaya dan mendorongnya untuk menyerahkan wang berjumlah RM10,800 melalui akaun CIMB Bank milik Syarikat Giganation Sdn Bhd.

Perbuatan itu dilakukan pada 30 Disember 2020 sekitar pukul 9.51 malam di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Perlis.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati menipu Ahmad Ridzuan Saad, 37, dengan memperdaya dan mendorongnya untuk menyerahkan wang berjumlah RM12,835 melalui akaun CIMB Bank milik Syarikat Giganation Sdn Bhd.

Tertuduh didapati melakukan perbuatan itu pada 2 Disember 2020 sekitar pukul 4.20 petang hingga 31 Disember 2020 di Bank CIMB Kangar.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama dimana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebatan serta denda.

Semua pertuduhan kes itu dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim dan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Proses pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaan, Inspektor S Mageswaran dan Asisten Superitendan Mohd Musa Ujang manakala tertuduh diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.

Sewaktu prosiding, Mageswaran memohon mahkamah agar memberi jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh manakala dalam prosiding berlainan, Mohd Musa pula meminta mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap seorang.

Rosman bagaimanapun membantah permohonan tersebut dan memaklumkan bahawa kehadiran semua anak guamnya hari ini menunjukkan komitmen mereka dalam menghadapi pertuduhan berkenaan dan memohon jaminan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh dijamin dengan jaminan mahkamah sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya