KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tridak menerima aduan daripada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Mekah berikutan menggunakan visa pelancong untuk dibawa pulang ke tanah air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, status mereka yang terkandas masih sama iaitu tidak membuat aduan kepada Tabung Haji.
“Kita mengharapkan mereka (yang terkandas) membuat aduan kepada kakitangan Tabung Haji yang berada di tanah suci.
“Setakat laporan yang diterima daripada Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh, belum ada secara rasmi mereka menghubungi untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pavilion Al-Falah dan pelancaran buku baharu terbitan agensi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan terdapat beberapa jemaah haji Malaysia terkandas di Mekah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak boleh pulang ke tanah air.
Mohd. Naim menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan helah agensi pelancongan yang kononnys mampu menyediakan visa haji.
“Visa haji hanya dikeluarkan oleh Tabung Haji dan kedutaan Arab Saudi yang disebut sebagai visa mujamalah dan furada.
“Kepada mereka yang ingin menunaikan haji, teruskan berhubung dengan Tabung Haji supaya tidak ditipu oleh agensi tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










