Terpaksa kerja 74 tahun lengkapkan simpanan asas KWSP

Terpaksa kerja 74 tahun lengkapkan simpanan asas KWSP

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terpaksa bekerja hampir 74 tahun bagi melengkapkan simpanan asas sebanyak RM240,000 sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dinaikkan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa bekerja hampir 74 tahun bagi melengkapkan simpanan asas sebanyak RM240,000 sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dinaikkan.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, statistik yang diberi oleh KWSP pada masa ini ialah 54 peratus daripada pencarum yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM50,000.

Beliau berkata, majoriti dari pencarum tidak akan mampu bersara dengan selesa kerana tidak dapat mengumpul simpanan asas sebanyak RM240,000.

“Gaji minimum RM1,500 tidak mampu membolehkan pencarum mendapat caruman asas RM240,000. Jadi pekerja harus berusaha mendapatkan gaji yang lebih tinggi dan kadar caruman yang lebih tinggi serta dividen dari KWSP.

“Mereka perlu bekerja sehingga 74 tahun bagi melengkapkan simpanan asas KWSP agar tidak terbeban diusia tua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, pencarum KWSP bakal menghadapi kesukaran untuk menyim­pan jumlah minimum wang persaraan selain berdepan risiko perlu bekerja lewat usia apabila sering mengeluarkan simpanan Akaun Fleksibel (Akaun 3).

Ketua Ekonomi dan Ana­li­sis Pasaran dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Ber­had, Dr. Mohd. Afzanizam Ab­dul Rashid berkata, pengelua­ran simpanan Akaun Fleksibel secara berterusan akan menyebabkan ahli sukar untuk mencapai sasaran simpanan asas.

“Pengeluaran akan mening­katkan kuasa membeli dalam kalangan ahli KWSP bagi kesan jangka masa pendek selain mampu untuk melonjakkan perbelanjaan para pengguna yang merupakan 61 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Namun, kita sedia maklum bahawa ramai ahli KWSP yang tidak mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 apabila mereka bersara kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi,Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Norzalina Ahmad berkata, pencarum perlu bekerja di usia 20 tahun bagi mencapai simpanan asas KWSP sebanyak RM240,000.

Beliau berkata, jika bermula bekerja pada usia 20 tahun dengan gaji minimum RM1500 dengan 11 peratus caruman pekerja dan 12 peratus majikan ia akan menyumbang kepada simpanan adalah RM345 sebulan.

“Jika umur persaraan adalah 55 tahun, jumlah simpanan keseluruhan dalam lingkungan RM144,900. Akaun persaraan adalah 75 peratus dan amaunnya menjadi  Rm108,675 tanpa mengambilkira pelaburan semula dan kenaikan gaji.

“Namun, amaun ini masih jauh mencapai sasaran RM240,000. Walaupun pencarum boleh menambah simpanan mereka, keperluan semasa akan menyebabkan keutamaan kewangan lebih kepada perbelanjaan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN