Taburan hujan kurang mulai Jumaat ini hingga September

Taburan hujan kurang mulai Jumaat ini hingga September

MUHAMMAD HELMI ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal masuk ke fasa monsun barat daya bermula Jumaat ini sehingga September depan yang dijangka menyebabkan kurangnya pembentukan awam sekali gus membawa kepada taburan hujan lebih rendah sepanjang tempoh tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, sepanjang monsun barat daya, angin bertiup secara konsisten ke arah barat daya dengan kelembapan udara rendah dan keadaan atmosfera lebih stabil.

Justeru, katanya, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding hari hujan.

“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutama pada awal pagi. 

“Garis badai adalah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Helmi berkata, dalam tempoh monsun barat daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutama dari Julai hingga September.

“Oleh itu, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar. Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN