KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Syad Mutalib, tidak bersandarkan kepada kecantikan untuk menjadi pelakon.
Kata pemilik nama sebenar Syadiyatul Qistina Abdul Mutalib ini, sebaliknya, yang melorongkan peluang ke dalam industri seni adalah pembawakan diri selain etika kerja yang baik.
“Kalau bercakap soal tiket jadi pelakon, mungkin orang ingat rupa paras. Hakikatnya bukan itu semata-mata, sebaliknya followers media sosial juga membantu.
“Apa pun pada saya, rupa yang cantik adalah bonus. Followers media sosial saya pun tak ramai.
“Saya percaya pembawakan diri itulah yang memudahkan. Ia bersangkut paut dengan pengurusan masa, karakter kita, sikap rendah diri dan rajin bertanya,” katanya sewaktu mempromosikan drama Bunga Salju, semalam.
Bercakap tentang drama terbitan Astro itu, Syad memaklumkan dia beruntung kerana berpeluang berkongsi ruang dengan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid dan Amyra Rosli dan Hariz Hamdan.
Katanya peluang itu ibarat mimpi jadi kenyataan buat yang mengidolakan Hisyam dan Amyra.
“Saya gemuruh sebab saya membesar dengan menonton lakonan Hisyam dan Amyra.
“Pada masa sama saya lega sebab mereka rendah diri dan sangat membantu.
“Watak Ikin yang saya lakonkan dalam drama ini berbeza dengan yang saya bawakan sebelum ini.
Saya suka dengan perubahan karakter ini yang awalnya lembut kemudian di hujung-hujung cerita, bertukar tegas,” jelasnya.










