Susah nak tutup mulut orang - Erysha Emyra - Utusan Malaysia

Susah nak tutup mulut orang – Erysha Emyra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Erysha Emyra, 24, mengambil pendekatan meletakkan had pergaulan apabila dia digandingkan dengan pelakon lelaki lebih-lebih lagi yang berstatus suami orang.

Katanya, tindakan itu penting untuk mengelakkan fitnah dan salah anggap masyarakat.

“Dalam pekerjaan apa sekalipun, setiap perempuan kena berjaga-jaga apabila bekerja dengan suami orang.

“Susah nak tutup mulut orang. 

“Sebab itu, kalau saya lakonkan babak percintaan, keserasian atau kemesraan dengan pelakon lelaki hanya untuk lakonan sahaja. Tidak dibawa sampai keluar set penggambaran,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Erysha mengulas tentang pendekatan yang diambilnya ketika digandingkan dengan pelakon dan penyanyi rap, Muhammad Hairi Amin Hamdan atau MK K-Clique menerusi drama Aku Bukan Ustazah.

Aktres cantik ini menyifatkan MK sebagai pelakon profesional yang tidak mencampuradukkan pekerjaan dengan hal peribadi.

“Kami sebenarnya jarang berbual di set penggambaran, sebaliknya hanya berbincang tentang babak yang kami lakonkan bersama,” kongsinya.

Bercakap tentang watak Aminah yang dilakonkannya, pemilik nama penuh Nur Erysha Emyra Zakaria ini bersyukur kerana diberi peluang membawa karakter penting dalam drama tersebut.

“Sebagai pelakon baru, saya sangat bersyukur apabila ada pihak yang percaya saya boleh bawa watak utama. 

“Peranan utama ini ada kesukarannya. Apa pun, saya telah berikan lakonan yang terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN