PETALING JAYA: Perbelanjaan yang tidak berhemah dengan melaksanakan subsidi pukal merupakan antara tiga langkah masalah fiskal yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua langkah seterusnya adalah asas hasil yang kecil dan bebanan hutang.
Menyentuh perbelanjaan yang tidak berhemat, beliau berkata, subsidi pukal perlu dihentikan kerana ia antara tertinggi berbanding di dunia.
“Untuk apa? Sedangkan, subsidi pukal lebih menguntungkan golongan kaya kerana penggunaan atau perbelanjaan mereka bagi suatu barang dan perkhidmatan lebih besar. 3.5 juta warga asing juga mendapat faedah daripada subsidi pukal,” katanya dalam Perutusan Negara semalam.
Menurut Anwar, setakat 2023, nisbah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah pada paras 12.6 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding purata negara Asia Pasifik sebanyak 19 peratus dan negara berpendapatan tinggi yang umumnya menjangkau 30 peratus.
Beliau berkata, kekangan hasil dan perbelanjaan tidak berhemat menyebabkan Kerajaan menanggung beban hutang.
“Paras hutang kini mencecah RM1.2 trilion atau 64.3 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti lain, ia mencecah RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus KDNK. Timbunan hutang hanya membazir wang rakyat kerana banyak dihabiskan untuk bayar faedah hutang.
“Tahun ini, setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen hanya untuk membayar faedah hutang; belum lagi bicara soal pokok atau prinsipal hutang,” katanya. – UTUSAN











