Suami isteri cedera dilanggar pemandu mabuk miliki 20 saman trafik - Utusan Malaysia

Suami isteri cedera dilanggar pemandu mabuk miliki 20 saman trafik

MPV dipandu lelaki mabuk menyebabkan kecederaan kepada penunggang dan pembonceng motosikal di Jalan Ashman Shah, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepasang suami isteri cedera selepas motosikal ditunggang mereka dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Ashman Shah di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 1.15 pagi itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Elgrand dipandu lelaki berusia 44 tahun dengan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta Perodua Kancil.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, selepas melanggar motosikal ditunggang mangsa, pemandu MPV itu telah mengundur kenderaan lalu melanggar sebuah kereta lain.

Katanya, pemandu MPV itu kemudian membuat pusingan U masuk ke Jalan Kamaruddin Isa sebelum terbabas dan melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu.

“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal berusia 27 dan 32 tahun yang jatuh di atas jalan mengalami kecederaan ringan manakala pemandu MPV dan kereta tidak cedera.

“Pemandu MPV itu telah ditahan dan hasil ujian pernafasan mendapati kadar alkohol dalam badan melebihi had yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan ke atas rekod pemandu terbabit mendapati memiliki 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan manakala MPV itu pula mempunyai tiga saman terkumpul membabitkan kesalahan pandu laju.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN