BATU PAHAT: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 20 Mei ini bagi mendapatkan status arahan lanjut dan izin berhubung kes seorang lelaki yang didakwa membunuh teman wanitanya, Bella atau Mila Sharmila Samsusah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih belum mendapat arahan lanjut daripada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor susulan terdapat perkembangan baharu terhadap kes pembunuhan itu.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh, Muhammad Haikal Mahfuz, 24, diwakili peguam Syahril Anuar Harun.
Syahril dalam penghujahannya memaklumkan, Muhammad Haikal sudah ditahan reman sejak Januari lalu, namun kes masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Majistret kemudian meminta pihak pendakwaan untuk melengkapkan permohonan kes agar dapat dipindahkan segera ke Mahkamah Tinggi memandang sudah dua kali permohonan izin dilakukan pada Mac dan April lepas.
Selain itu, Mahkamah Majistret mengguna pakai Seksyen 117 (A) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) sebagai medium untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Sebelum itu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah pada kira-kira 8 pagi dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
Turut kelihatan ialah ahli keluarga kepada Mohammad Haikal termasuk bapanya yang menunggu seawal jam 8 pagi di perkarangan mahkamah.
Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.
Kejadian berlaku pada pukul 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember tahun lalu. – UTUSAN










