PETALING JAYA: Selepas era penguasaan Daniel Bego dan Nurul Huda Abdullah, apakah negara semakin ketandusan jaguh-jaguh renang yang mampu menjulang Malaysia di pentas antarabangsa?
Lebih mengejutkan sehingga kini masih belum ada atlet renang negara yang memperoleh merit untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024, sebaliknya kini tiket wildcard menjadi rebutan.
Tiada apa yang boleh diharapkan di Paris jika wildcard menjadi sandaran kerana rekod peribadi dan kejohanan boleh diramal keputusan kelak apabila bersaing dengan jaguh-jaguh dunia.
Pun begitu, skuad renang negara masih berpeluang untuk mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Masa Kelayakan Olimpik (OQT).
Setiausaha agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, kategori wanita paling menghadapi cabaran untuk meraih slot berdasarkan OQT berikutan rata-rata pesaingnya adalah sangat sukar.
Beliau berkata, perenang wanita masih berpeluang untuk layak ke temasya empat tahun sekali melalui tiket wildcard sekiranya gagal menempah cabaran pada OQT yang mana tarikh tutupnya pada 23 Jun ini.
Bagaimanapun, MAS masih dalam dilema untuk memilih calon bagi slot terbabit berikutan ia dibuka kepada semua perenang wanita negara.
“Skuad renang kita masih ada peluang baik lelaki mahupun wanita. Bagi lelaki kami tiada masalah kerana kami sudah kenal pasti calon kami. Kami tidak menjangkakan perenang wanita kami mendapat slot ini (wildcard).
“Perenang wanita kami ada sedikit masalah kerana ianya secara jelas lebih terbuka dan mereka perlu bertempur untuk mencapai OQT dan wildcard berkenaan. Jika gagal menerusi OQT, atlet wanita kita masih ada hanya satu tiket melalui wildcard sahaja,
“Sememangnya kita ada Phee Jing En (atlet renang wanita negara). Kita tahu dia bertanding untuk Olimpik edisi 2016 dan 2020. Namun kami masih enggan mendedahkan calon renang wanita kami,” kata Andy kepada Utusan Malaysia.
Tiket wildcard untuk melayakkan diri ke acara sukan terbesar berkenaan adalah terhad yang mana MAS hanya boleh berikan kepada seorang perenang lelaki dan wanita sahaja.
Dalam pada itu, Andy berkata, bagi kategori lelaki, Khiew Hoe Yean tampil memberi sinar harapan kepada MAS untuk memastikan kedudukannya ke Paris susulan daripada prestasinya tahun lalu.
“Hoe Yean kami menjangkakan akan menerima slot terbabit. Prestasinya ketika Australia sangat memberangsangkan yang menunjukkan beliau lebih layak.
“Kami hanya menjangkakan sahaja. Peluang yang kami nampak kepadanya sangat jelas. Bagaimanapun, kita perlu tunggu sehingga 23 Jun ini untuk senarai secara rasmi ke Paris,” ujar Andy.
Untuk rekod, perenang berusia 22 tahun itu memadam rekod kebangsaan menerusi acara 400 meter (m) gaya bebas dengan catatan masa 3 minit 48.36 saat serta 800m gaya bebas dalam masa 8 minit 01.30 saat pada kejohanan kebangsaan di Australia, April tahun lalu. – UTUSAN










