BERBAKI lima hari lagi kesemua calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu mula bersiap sedia untuk mengumpul sebanyak sokongan yang boleh bagi memastikan kemenangan mereka.
Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao membawa para pemimpin Putrajaya membantunya berkempen sementara calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut pula menampilkan pemimpin utama parti seperti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berbeza dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan Bebas, Nyau Ke Xin yang menerusi pengamatan pemberita tidak mempunyai strategi kempen yang agresif untuk mendekati para pengundi Kuala Kubu Baharu.
Bagaimanapun antara keempat-empat calon tersebut, siapa yang mampu menarik pengundi yang berada di luar Kuala Kubu Baharu untuk pulang mengundi pada 11 Mei ini akan berjaya menggantikan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, Lee Kee Hiong.
Menerusi tinjauan umum yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dengan beberapa pihak iaitu pengundi, pemimpin parti dan calon, mendapati mereka sedang merangka strategi untuk menarik kumpulan pengundi yang tinggal dan bekerja di bandar-bandar lain seperti Lembah Klang pulang mengundi.
Malah, dalam tinjauan tersebut juga dikesan segelintir pengundi warga emas tidak berharap anak-anak mereka untuk pulang mengundi.
Ini kerana orang ramai didapati tidak mahu keluar mengundi antaranya kemungkinan merasakan undi mereka tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian selain merasakan ia tidak mengubah apa-apa sekiranya mana-mana parti yang menang.
Melihat kepada rekod beberapa siri PRK sebelum ini turut mendapati peratusan keluar mengundi adalah kurang daripada 70 peratus dan trend tersebut dijangka berterusan.
Sedangkan untuk memastikan kemenangan di dalam PRK Kuala Kubu Baharu, setiap calon memerlukan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 40,226 keluar mengundi.
Berdasarkan kebolehmenangan setiap calon, Khairul Azhari mempunyai peluang lebih cerah berbanding Sock Tao kerana pengundi yang masih merasakan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat tidak berkesan dalam menangani isu kejatuhan mata wang, peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.
Dengan menampilkan para pemimpin utama pembangkang seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dijangka memberi kelebihan kepada Khairul Azhari untuk menarik undi terutama pengundi Melayu.
Sementara Sock Tao, anak jati Ampang itu terus turut berdepan dengan stereotaip daripada pengundi oleh kerana beliau bukan berasal dari Kuala Kubu Baharu menjadikan beliau sukar untuk memahami masalah di sini.
Bagaimanapun, rekod perkhidmatan Kee Hiong sebagai wakil rakyat di sini sejak tahun 2013 dijangka menyelamatkan Sock Tao, ini kerana perjumpaan Utusan Malaysia dengan pengundi mendapati mereka berpuas hati dengan usaha mendiang selama ini.
Malah penampilan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor yang membantu Sock Tao berkempen dijangka memastikan calon PH itu memperoleh kira-kira 2,000 undi daripada masyarakat Orang Asli.
Sekiranya Sock Tao berjaya memujuk MCA untuk menyertai kempen di saat akhir, ia akan membantunya memastikan undi orang Cina yang sebelum ini dijangka berpecah akan berpihak kepadanya secara total.
Hafizah dan Ke Xin yang turut berdepan dengan sentimen sama seperti Sock Tao ekoran buka, anak jatiKuala Kubu Baharu itu dijangka kehilangan deposit mereka oleh kerana tiada usaha signifikan untuk mematahkan tanggapan tersebut setakat ini. – UTUSAN










