PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali gagal untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung kes saman RM10 juta terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Ini selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan tersebut.
Turut bersidang ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.
“Hakim bicara (Mahkamah Tinggi) telah mendengar dan meneliti segala bukti serta keterangan. Mahkamah Rayuan pula telah mengesahkan dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi.
“Sekali imbas, pemohon (Mohamed Apandi) tidak mempunyai prima facie dalam kes beliau dan tiada sebarang isu baharu dikemukakan. Kes ini bukanlah satu kes yang wajar untuk (Mahkamah Persekutuan) campur tangan,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkas sebulat suara panel itu.
Mahkamah kemudian menolak permohonan Mohamed Apandi untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dengan kos RM30,000.
Pada 1 Disember 2023, Mohamed Apandi memfailkan permohonan tersebut, antara lain memohon mahkamah memutuskan lima persoalan undang-undang.
Persoalan undang-undang yang dicadangkan dalam permohonan kebenaran merayu itu antaranya sama ada mengenai perkara melibatkan tindakan atau bukan tindakan peguam negara dalam peranan dan jawatan beliau sebagai peguam negara, termasuk pelaksanaan budi bicara pendakwa raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah wajar atau tidak.
Pada 2 November 2023, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohamed Apandi untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya dan memerintahkan beliau membayar kos RM100,000.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk M.Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Mohamed Apandi selepas memutuskan tiada merit untuk rayuan itu.
Pada 23 Mei 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar menolak saman Mohamed Apandi atas alasan Kit Siang sebagai defendan mempunyai justifikasi dalam membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi artikel itu kerana skandal 1MDB membabitkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan sosial dan ekonomi kepada ekonomi negara serta moral pemimpin dan agensi tertinggi negara.
Beliau juga memerintahkan Mohamed Apandi membayar kos RM80,000 kepada Kit Siang.
Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang menulis dan menyebabkan artikel bertajuk Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity disiarkan portal berita Malaysiakini.
Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara.
Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara bagi meraih publisiti murahan.
Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Kit Siang dan ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN










