Sah! Bilik bedah Hospital Sultan Idris Shah bermasalah

Sah! Bilik bedah Hospital Sultan Idris Shah bermasalah

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sah! Ada ma­salah teknikal di Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Ser­dang.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesahkan kompleks itu berdepan isu teknikal meliputi masalah bekalan elektrik dan kelembapan tinggi.

Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin berkata, isu itu sedang ditangani dan diambil tindakan oleh kontraktor utama di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum pengoperasian di Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS dimulakan.

“Walaupun Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS belum dapat digunakan, perkhidmatan pembedahan kardiotorasik masIh dilaksanakan di Dewan Bedah Kardiotorasik di Bangunan Utama HSIS di samping rujukan pesakit ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Selain perkhidmatan pembedahan kardiotorasik yang ditawarkan di HSIS, Kementerian Kesihatan mengambil inisiatif penyumberluaran pesakit yang memerlukan perkhidmatan rawatan pembedahan kardiotorasik ke fasiliti swasta.

“Inisiatif ini dalam peringkat akhir perancangan dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Siaran muka hadapan Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan, empat dewan bedah di bangunan baharu Pusat Jantung di HSIS didakwa gagal berfungsi kerana masalah teknikal.

Sumber yang rapat dengan pusat jantung berkenaan mendakwa, kira-kira 1,000 prosedur pembedahan jantung tidak dapat dijalankan susulan masalah tersebut.
Lebih menyedihkan, semua bilik bedah di bangunan lama turut tidak dapat digunakan akibat masalah sama.

Dr. Ummi Kalthom berkata, Pusat Jantung HSIS beroperasi secara berfasa bermula 13 Disember 2022 dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan melibatkan rawatan pesakit jantung.

Menurut beliau, semua wad umum di Blok Pusat Jantung HSIS beroperasi sepenuhnya termasuk Unit Rawatan Kritikal (CCU), sehingga kini.

“Diharapkan dengan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik di Bangunan Utama HSIS, proses pembaikan Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS yang sedang dalam pelaksanaan dan inisiatif penyumberluaran mampu mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan pembedahan kardiotorasi.

“JKNS akan memantau rapat bagi memastikan tindakan pembaikan Kompleks Dewan Bedah Pusat Jantung HSIS disegerakan demi kelangsungan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN