MADINAH: Permohonan aplikasi Nusuk untuk jemaah haji Malaysia memasuki Raudhah akan dibuat mengikut kumpulan penerbangan.
Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin berkata, permohonan menerusi aplikasi itu akan dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berdasarkan tarikh ketibaan jemaah haji di Arab Saudi.
Selain itu katanya, jadual akan diberi mengikut zon tempat menginap jemaah untuk mengetahui pergerakan menziarahi Raudhah.
“Semua jemaah haji Tabung Haji kita akan buat permohonan dalam sistem mengikut kumpulan dan ia tidak boleh dibuat menerusi permohonan individu. Permohonan aplikasi Nusuk ini bergantung kelulusannya kerana dikawal dan disusun oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi.
“Apa yang pasti terdapat perbezaan jadual antara kumpulan wanita serta masa berlainan. Setiap kumpulan akan dipimpin pembimbing ibadah haji atau guru agama dengan diiringi petugas. Permit rentas akan diberikan kepada penjaga pintu dan jemaah akan memasuki Raudhah mengikut slot masa,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Tabung Haji di Madinah, Roha Al-Madinah.
Sebagai rekod, aplikasi Nusuk diperkenalkan Arab Saudi pada 2022 untuk jemaah haji dan umrah yang berhasrat mengunjungi Raudhah serta makam Nabi Muhammad SAW yang terletak di kawasan Masjid Nabawi.
Tambah Ashrof, Tabung Haji akan membuat permohonan untuk kumpulan penerbangan pertama dan kedua sebaik tiba nanti.
Dalam pada itu, Ashrof berkata, untuk jemaah haji yang berusia, Tabung Haji akan melihat kepada keupayaan individu berkenaan.
“Untuk orang yang berusia pula, kita akan melihat keupayaan jemaah. Kalau boleh jalan tetapi dalam keadaan perlahan, kita akan kenal pasti sama ada mereka mempunyai waris atau sebaliknya.
“Kalau tiada waris, kita ada petugas yang akan bantu pergerakan jemaah haji dari penginapan sampai ke Masjid Nabawi atau kalau tidak boleh jalan tapi sihat kita mempunyai kerusi roda untuk membantu jemaah ke Raudhah,” jelasnya. – UTUSAN










