KEFASIHAN beberapa pemain bola sepak kegemarannya bertutur dalam lima bahasa termasuk Sepanyol membuatkan penyanyi, Yunalis Zarai terpanggil untuk mengikuti langkah yang sama.
Tambahan pula, keadaannya yang menetap di Los Angeles (L.A) dengan hampir 40 peratus penduduk di sana mahir berbahasa Sepanyol menguatkan lagi hasrat penyanyi itu untuk menguasai bahasa itu.
Bermula tahun lalu, Yuna tekun mempelajari bahasa tersebut berbekalkan sokongan suami, Adam Sinclair. Anak jati Alor Setar, Kedah itu merujuk buku, aplikasi bahasa dan sering bertutur dalam bahasa tersebut ketika berbual dengan masyarakat Amerika Latin yang tinggal di L.A.
Dia juga berkongsi proses pembelajarannya di Instagram. Peminat Yuna teruja dengan perkembangan tersebut dan mencadangkan agar calon E! People’s Choice Award 2019 itu menghasilkan lagu berbahasa Sepanyol.
Cadangan itu disambut menerusi penghasilan lagu Bad Intentions.
“Sebenarnya saya meminati beberapa artis muda yang menyanyikan lagu Sepanyol seperti Rosalia dan Sofia Valdez.
“Saya akui, menulis lagu Sepanyol memang mencabar. Selalunya, saya cuba-cuba tulis lirik, kemudian rujuk aplikasi terjemahan dan buku untuk membuat semakan.
“Selain itu, saya pastikan setiap ayat yang disusun dalam lagu itu mempunyai rima. Selepas siap, saya akan tunjukkan dan minta pendapat rakan-rakan yang bertutur dalam bahasa itu.
“Apabila menulis lagu, kita kena hormat bahasa yang digunakan, jangan bantai sahaja. Begitu juga dengan sebutan. Saya akan pastikan semuanya tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Video muzik Bad Intentions arahan suaminya yang mula dimuat naik di YouTube Jumaat lepas menuai pujian pendengar yang kebanyakannya dari negara Amerika Latin.
“Mereka kata sebutan saya jelas, seolah-olah saya fasih berbahasa Sepanyol.
“Saya gembira kerana memang salah satu sebab saya hasilkan lagu ini kerana sokongan mereka. Semoga satu hari nanti saya dapat bertemu dan melawat mereka di Columbia dan Mexico,” katanya yang selepas ini merancang untuk mempelajari bahasa Arab pula.
Permulaan baru
Bad Intentions adalah permulaan bagi calon pemenang Lagu Asal Terbaik, Anugerah Oscar 2017 itu menghasilkan muzik dan lagu di luar kebiasaannya.
Yuna sebenarnya kini sedang menyiapkan lagu Sepanyol keduanya yang bakal diperdengarkan tidak lama lagi.
“Selain Bad Intentions, ada sebuah lagi lagu Sepanyol yang genrenya rancak dan susunan muziknya menarik.
“Ia adalah lagu cinta yang sangat manis dan romantik. Saya rasa pendengar akan suka.
“Sekarang saya sedang dalam proses semakan lirik dengan beberapa penulis Sepanyol. Insya-Allah kita akan terbitkan tidak lama lagi,” kongsinya.










