GEORGE TOWN : Pulau Pinang masih menjadi hab utama bagi pelabur dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) memandangkan sebahagian besar pelabur dalam bidang berkenaan kini berpangkalan di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Selangor pula menjadi pilihan para pelabur IC baru-baru ini mungkin disebabkan oleh insentif yang ditawarkan melalui inisiatif Malaysia Semiconductor Accelerator and IC Design Park (Selangor Hub) yang diterajui kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, dalam hal ini, Selangor dikatakan telah menerima geran sebanyak RM60 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan telah berjaya menarik modal teroka (venture capital) global untuk bekerjasama dengan mereka bagi menawarkan dana khas di bawah inisiatif ini.
“Kerajaan negeri Selangor juga dikatakan telah menyalurkan sebanyak RM65 juta kepada SIDEC bagi menguruskan Taman Perindustrian IC Design di Selangor.
“Bagaimanapun, (secara umumnya) Pulau Pinang masih menjadi hab pelabur IC memandangkan sebahagian besar pelabur IC adalah berpangkalan di negeri ini, berbanding Selangor yang baharu memulakan inisiatif menarik pelabur dari industri ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Belaiu berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) mengenai punca pelabur IC memilih Selangor untuk melabur berbanding Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam pembangunan sektor semikonduktor di peringkat antarabangsa.
“Selain daripada terus mengembangkan aktiviti elektrik dan elektronik (E&E) dan semi konduktor yang sedia ada, kerajaan negeri turut memberi fokus dalam membangunkan rantaian bekalan (supply chain) untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan (front-endmanufacturing equipment).
“Kita juga menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan Design and Development (D&D) di Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, pada masa yang sama, kerajaan negeri turut menggalakkan serta membantu lebih banyak syarikat tempatan melibatkan diri dalam rantaian nilai global untuk menggerakkan rantaian nilai (move up the value chain) serta memantapkan ekosistem sedia ada.
“Selain itu, kita juga cuba memupuk penyelidikan dan pembangunan, penggunaan teknologi dan inovasi terutamanya berkait dengan aspek pendigitalan.
“Ini kerana langkah ini mampu mengubah struktur perindustrian bernilai tinggi, mampan dan memberi manfaat kepada penjanaan pekerjaan mahir,” katanya.-UTUSAN










