MARAN: Projek pembinaan Hospital Maran bernilai RM350 juta yang tertangguh sejak 2016 terus menjadi tanda tanya, seolah-olah sukar dibina walaupun kosnya sudah diluluskan lima Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Mutalib berkata, projek itu diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kos RM150 juta.
“Pada waktu itu, sudah enam tapak kita kenal pasti. Sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Najib sudah meneliti dan mendapati ada keperluan untuk menyegerakan pembinaan hospital di daerah Maran dan perlu disiapkan seperti dirancang.
“Namun, saya dengar ada cadangan baharu untuk membina hospital daerah ini ke lokasi lain, tapak pertama yang pernah dicadangkan dan ditolak sebelum ini.
“Sejak awal lagi tapak itu kita sudah tolak atas pelbagai faktor seperti tanah milik dan sekarang nak buat di tapak sama. Tidakkah ini satu pembaziran?” katanya di sini semalam.
Ismail berkata, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa era Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menambah peruntukan RM250 juta bagi pembinaan hospital berkenaan.
“Hospital Maran mendapat tambahan RM350 juta yang diluluskan dalam Bajet 2023 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu,” katanya.
Katanya, dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar mengekalkan peruntukan Hospital Maran berjumlah RM350 juta, bagaimanapun ia tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2024.
Beliau mendakwa, lokasi hospital tersebut berubah disebabkan isu politik sekali gus menyebabkan RM400,000 duit rakyat dibazirkan akibat pertambahan kos, logistik serta membazir masa.
“Pertukaran tapak dari Batu 55 Jalan Maran-Jerantut ke lokasi baharu di Kampung Teras, Mukim Luit seluas 24 hektar berdekatan Tol Maran melambatkan Impian lebih 140,000 penduduk Maran memiliki hospital daerah sendiri.
“Status Hospital Maran terus menimbulkan tanda tanya dan melalui jalan berliku berikutan perubahan tampuk pemerintahan selepas PRU15,” katanya. – UTUSAN










