PRK Sungai Bakap: PH, parti komponen bermesyuarat minggu ini

PRK Sungai Bakap: PH, parti komponen bermesyuarat minggu ini

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dijangka bermesyuarat minggu ini bersama parti komponen lain daripada Kerajaan Perpaduan berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat itu akan diaturkan dengan segera bagi membincangkan persiapan seterusnya yang perlu dihadapi oleh parti gabungan itu menjelang PRK berkenaan.

“PH atau Kerajaan Perpaduan akan aturkan mesyuarat dengan cepat minggu ini. Saya difahamkan, PKR sudah mulakan mesyuarat. Kita akan bincang seterusnya persiapan untuk menghadapi PRK Sungai Bakap,” katanya ketika ditemui di Bangunan DUN Pulau Pinang, di sini hari ini.

ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff disahkan meninggal dunia Jumaat lalu selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam mewakili suara penduduk Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai soal calon PRK DUN Sungai Bakap, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, beliau menyerahkan kepada PKR untuk menentukan calon yang akan mewakili PH dan Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan.

“Calon itu belum (putuskan). Soal ini boleh diserahkan kepada PKR sebab PKR adalah parti yang bertanding di kerusi DUN Sungai Bakap sebelum ini. Kita belum buat keputusan rasmi, tetapi, ia (keputusan dibuat) secara persetujuan bersama,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada PH yakin mampu merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap, Kon Yeow berkata, kerjasama antara anggota Kerajaan Perpaduan yang semakin mantap pada masa ini mampu memberi kelebihan kepada calon PH dan Kerajaan Perpaduan untuk merampas kembali kerusi DUN Sungai Bakap itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN