PRK Kuala Kubu Bharu: Serendah tawar 6,000 peluang kerja berkualiti - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: Serendah tawar 6,000 peluang kerja berkualiti

Serendah
NG SZE HAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Sebanyak 53 buah syarikat melabur di sini khususnya dekat kawasan perindustrian Serendah melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion sejak tahun 2020.

Aktiviti pelaburan tersebut membolehkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi dapat ditawarkan kepada penduduk khususnya di daerah ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, di Serendah juga menjadi lokasi yang menempatkan pelbagai sektor perindustrian gergasi terutama elektrikal dan automotif.

“Tidak jauh dari sini 15 ke 20 minit dari Batang Kali iaitu Serendah mempunyai kawasan perindustrian berteknologi tinggi di sana mempunyai banyak kilang, ada elektronik, elektrikal, dan automotif. Perodua di sana merupakan kilang terbesar di Malaysia.

“Ramai yang kata Tanjung Malim merupakan hab automotif terbesar, sebenarnya hab automotif yang utama di seluruh negara adalah terletak di Serendah. Lagi, kita ada sebuah kilang solar panel yang salah satu terbesar di dunia juga terletak di Serendah,” katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei.

Calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao bertanding dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Dalam pada itu, Ng Sze Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara memberitahu, pelaburan dan kewujudan kawasan perindustrian di Serendah membolehkan penduduk kekal tinggal di Kerling, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Rasa dan perumahan di situ sendiri.

“Ini adalah impian kerajaan negeri kerana kita mahu anak muda di Hulu Selangor tinggal di sana, berkahwin di sana, bina keluarga di sana, masih boleh balik rumah bersama keluarga.

“Kita bukan cakap sahaja, it is happening dan kita buktikan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN