HULU SELANGOR: Pakatan Harapan (PH) yakin isyarat pengundi pada minggu pertama kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu menunjukkan mereka mahu kawasan itu kekal diwakili oleh calon Kerajaan Perpaduan.
Calonnya, Pang Sock Tao berkata, tujuh hari pertama sejak penamaan calon pada Sabtu lalu beliau menerima sokongan dan dorongan menggalakkan yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong dekat setiap tempat yang dilawati.
“Saya rasa kita masih lagi membina momentum, semakin hari semakin baik dan saya rasa kita kena ambil peluang lapan hari yang tinggal untuk berkempen bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui.
Tambah calon daripada komponen, DAP itu, situasi tersebut akan disokong dengan usaha berterusan bagi tempoh lapan hari akan datang dengan kempen dan ceramah yang lebih berkesan sehingga menjelang hari mengundi pada 11 Mei.
“Untuk lapan hari akan datang sudah tentu ada ceramah yang lebih besar seperti malam ini kita akan ada ceramah Utama di Bandar Utama Batang Kali. Untuk minggu depan juga, pada 7 dan 9 Mei.
“Selain itu, kita juga ada ceramah kelompok yang diadakan oleh parti-parti lain, kita kena ambil masa ini untuk mendekati dan menyantuni rakyat,” jelasnya.
Sementara itu PH dilapor akan membentangkan manifestonya malam ini pada Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali.
Dalam PRK Kuala Kubu Bharu, Sock Tao bertanding dalam saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Seramai 40,226 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini untuk mengundi, sementara pengundi awal, 763 orang pula akan menjalankan tanggungungjawab mereka pada 7 Mei.
Dalam pada itu, Sock Tao ketika ditemui ketika bermesra dengan penduduk di Bandar Utama Batang Kali sempat berseloroh tentang rahsianya kekal bersemangat untuk berkempen sepanjang 14 hari.
Yang membuatkan saya kuat untuk berkempen adalah senyuman daripada penduduk warga KKB yang banyak memberikan sokongan dan dorongan.
Begitu juga saya ambil vitamin C dan D, ada juga sukarela yang masak sup untuk pasukan jentera. Jadi kami dapat makanan berkhasiat. Begitulah saya kena pastikan bertenaga dan bersemangat bersungguh-sungguh untuk berkempen,” ujarnya. – UTUSAN










