PETALING JAYA: Polis menyita enam buah motosikal yang diubah suai di kawasan lorong motosikal lebuh raya Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE), di sini, kelmarin.
Menerusi operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang Jaya itu, sebanyak 63 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi bermula pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi itu bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.
“Sebanyak 63 keping saman dikeluarkan selepas pemeriksaan dibuat terhadap 53 individu dan 53 buah kenderaan.
“Saman yang dikeluarkan adalah atas kesalahan-kesalahan lazim iaitu tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan ubah suai ekzos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, enam buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.
Beliau berkata, lima daripadanya adalah motosikal yang ditunggang oleh warga asing dan sebuah motosikal lagi kerana kesalahan ubah suai ekzos.
“Kenderaan yang disita ini dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.
“Semua pengguna motosikal diingatkan untuk memakai topi keledar diikat dengan kemas dan gunakan topi keledar yang diperakui oleh SIRIM demi keselamatan,” katanya. – UTUSAN








